Ipoh, 16 Ogos – Seramai 100 pelajar baharu Semester 1 Politeknik Ungku Omar (PUO) menerima sumbangan berbentuk makanan tengah hari, minuman sumbangan Nestle, dan t-shirt melalui Program Khidmat Masyarakat (CSR) Unit Komunikasi Korporat (UKK) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang telah berlangsung hari ini.
Program ini diadakan bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa diutamakan, terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan. Inisiatif ini diilhamkan dengan tujuan untuk membantu meringankan beban pelajar baharu Semester 1 di PUO.
“Kami amat menghargai sokongan dan sumbangan daripada semua warga PUO, termasuk pihak Koperasi PUO dan Nestle, yang turut menyumbang untuk program ini,” kata Sharifah Anita Wafa, Pegawai Perhubungan Awam PUO.
Menurut Puan Sharifah Anita Wafa lagi, program ini mencerminkan komitmen PUO dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga. “Kami berharap program ini akan memberi sedikit kelegaan kepada pelajar dan keluarga mereka serta mendorong mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan akademik. Ini adalah satu langkah kecil yang diambil untuk menunjukkan bahawa PUO sentiasa prihatin dan sedia membantu pelajar dalam apa jua cara yang kami mampu,” ujarnya lagi.
Turut hadir menyampaikan sumbangan kepada para penerima adalah Timbalan Pengarah (Akademik) Politeknik Ungku Omar, Encik Norman bin Zamri.