Kulim, 20 Ogos 2024 – Seramai 106 guru bimbingan dan kaunseling dari empat daerah di Kedah telah menyertai Program Hala Tuju Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti 2024 yang dianjurkan oleh Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB). Program ini menghimpunkan guru-guru bimbingan dan kaunseling dari Kulim Bandar Baharu, Kuala Muda Yan, Baling, dan Sik dengan matlamat memperkasa pengetahuan mereka mengenai laluan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Program ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Mohd Kamal Bin Hashim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Kedah yang turut memberi sokongan dan ucapan semangat kepada para peserta.
Mohd Ruzi bin Hamzah, Pengarah PTSB, menekankan kepentingan pendedahan awal kepada pelajar mengenai peluang dalam TVET. “Guru-guru bimbingan dan kaunseling adalah tonggak utama dalam membimbing pelajar. Melalui program ini, kami berharap mereka dapat memainkan peranan penting dalam mendorong pelajar untuk mempertimbangkan TVET sebagai pilihan kerjaya,” katanya.
Program ini turut memberi peluang kepada para guru bimbingan dan kaunseling untuk memahami perkembangan teknologi serta kemahiran yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan masa kini. Usaha ini selaras dengan matlamat negara untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan kompetitif.
Mohd Ruzi menambah, “kerjasama antara PTSB dan pihak sekolah sangat penting untuk memastikan pelajar di Kedah menerima maklumat tepat tentang pendidikan dan potensi kerjaya mereka. Kehadiran guru-guru bimbingan dan kaunseling dari pelbagai daerah ini mencerminkan komitmen kita bersama untuk memperkasakan pendidikan TVET di negeri ini.”
Dengan penganjuran program ini, PTSB terus menunjukkan komitmennya dalam memperkukuh pendidikan TVET serta memupuk generasi muda yang berdaya saing dan berinovasi.