1,096 pelajar baharu, POLIMAS catat lonjakan ketara

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
18 December 2024
Aktiviti Pelajar

Suara TV, 6 Ogos 2024

Seramai 1096 orang pelajar baharu telah mendaftar di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah – Foto POLIMAS

JITRA – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dalam satu kenyataannya memaklumkan seramai 1096 orang pelajar baharunya telah mendaftar di sini, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Akademiknya, Dr. Mhd Azmin Mat Seman berkata, ibu bapa patut berasa bangga kerana anak mereka telah ditawarkan belajar kerana pelajar di institusi ini, sememangnya mudah mendapat kerja selepas bergraduat.

Beliau berkata demikian ketika memberikan taklimat kepada ibu bapa semasa pendaftaran pelajar baharu POLIMAS, di sini.

“Kebolehpasaran graduan untuk mendapat kerja bagi tahun 2023 adalah tinggi iaitu 97 peratus.

“Ini menunjukkan bahawa pihak industri sangat berminat dengan graduan yang dihasilkan oleh POLIMAS.

“Pelajar seharusnya menggunakan peluang ini, belajar bersungguh-sungguh dengan meraih kelulusan yang cemerlang dan mendapatkan diploma di sini dan seterusnya memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar POLIMAS, Muhamad Nasir Zain berkata, pendaftaran pelajar baharu bagi sesi ini menampakkan peningkatan yang ketara.

“Dahulunya hanya 960 pelajar mendaftar tapi kali ini melonjak ketara mencatatkan ke angka 1096 orang.

“Ini menunjukkan bahawa pelajar sudah menyedari bahawa belajar di politeknik memberikan kemahiran serta mampu relevan dengan pasaran pekerjaan.

“Bagi anak muda yang ingin cepat masuk ke alam pekerjaan, pengajian ke politeknik adalah pilihan terbaik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beberapa orang pelajar meluahkan kegembiraan setelah diterima masuk belajar di POLIMAS.

Bekas pelajar dari Kolej Komuniti Taiping, Pole Yang Seng berkata, apabila ingin menyambung belajar ke peringkat diploma, beliau memilih POLIMAS kerana kos pembelajaranya murah berbanding dengan institusi pengajian tinggi yang lain.

Ibu Pole, Ang Lay Ling berkata, sangat menyukai anaknya belajar di politeknik, senang mendapat kerja dan kos pembelajaranya murah dan tidak membebankan sekeluarga.

Bekas pelajar SMK Sharifah Rodziah, Rosya Aleya Fitriah Abdullah berkata, berasa gembira kerana institusi ini telah banyak membantu ramai pelajar mendapat pekerjaan.

“Walaupun sedikit gementar namun saya berasa gembira dan teruja apabila dapat masuk belajar di sini,” kata pelajar jurusan pemasaran, Diana Agam Abdullah.

Manakala, Raasini, bekas pelajar SMK Pengkalan Hulu, turut berasa teruja dan gembira apabila dapat menyambung pelajaran ke POLIMAS. – SUARA.TV

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti