12 pelajar POLISAS sertai program mobiliti antarabangsa

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
14 September 2024
Aktiviti Pelajar, BERITA

Kuantan – Seramai 12 pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) berpeluang menimba ilmu dan pengalaman menarik menerusi Program Mobiliti Pelajar ke Politeknik Negeri Jakarta (PNJ), Indonesia baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama sembilan hari bermula 31 Ogos dan berakhir pada 9 September lalu padat dengan pelbagai aktiviti pendidikan meliputi jalinan sosial, eksplorasi budaya, pengalaman bersama industri dan perkongsian ilmu kemahiran.

Program kali ini merupakan kesinambungan program dan aktiviti yang telah dijalankan POLISAS bersama PNJ sebelum ini.

Pada kali ini pelajar kejuruteraan elektrik pula diberikan peluang untuk menimba pengalaman dalam program dua hala ini dan mengendalikan aktiviti bersama pelajar luar negara.

Program mobiliti ini akan diteruskan lagi dengan kehadiran delegasi PNJ ke POLISAS yang dijadualkan pada 2 hingga 12 Oktober ini.

Antara aktiviti yang dijalankan pada program mobiliti ini antaranya sesi perkongsian ilmu, lawatan kebudayaan serta lawatan industri ke PT Yokogawa.

Seorang peserta, Roshini Manimaran, 20, berkata penyertaannya dalam program ini merupakan satu pengalaman berharga yang mana beliau berpeluang belajar mengenai budaya dan sistem pendidikan yang berbeza, serta membina jaringan antarabangsa yang kukuh.

“ Pengalaman ini memperkaya pengetahuan akademik saya, meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan keupayaan beradaptasi dengan persekitaran baharu serta memberi keyakinan diri yang lebih untuk berinteraksi di peringkat global”, katanya.

Tambah beliau lagi, program ini dapat membuka ruang kepada pelajar untuk keluar daripada zon selesa dan mencungkil bakat masing-masing. Secara keseluruhan, program ini memperkaya pengalaman pelajar dan mempersiapkan diri untuk berdepan dengan cabaran global.

Pada program yang sama, satu majlis menandatangani Surat Hasrat (LoI) telah disempurnakan oleh Pengarah PNJ, Dr. Syamsurizal, S.E.,M.M bersama Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim yang mewakili institusi masing-masing.

Kedua-dua institusi bersetuju untuk berkolaborasi melalui perkongsian amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran dan dalam mana-mana bidang lain yang berkaitan, program pertukaran untuk kakitangan akademik, pakar dan/atau pelajar dalam kursus Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, perkongsian ilmu dan perpindahan teknologi melalui persidangan, simposium, bengkel, pameran, penyelidikan dan inovasi serta program latihan industri bagi staf akademik dan pelajar antara dua negara.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti