
KUANTAN, 16 April 2025– Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan bersama Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM), dengan kerjasama Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan Lembaga Juruukur Tanah Malaysia (LJT) meneruskan usaha memartabatkan bidang inovasi melalui penganjuran program National Geomatics/Geoinformatics Students Innovation Competition (NGGSIC) 2025 peringkat Kebangsaan bagi kali ke-12.
Majlis Perasmian Penutup program disempurnakan oleh Naib Presiden dan Pengerusi Geomatic & Land Survey (GLS), Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM),LSr Dr. Mohd Yunus bin Mohd Yusoff, bertempat di Dewan Sri Mahkota POLISAS. Hadir sama adalah Pengarah Bahagian Kurikulum, JPPKK, Dr. Zamzam Mohd Walid serta Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim.
NGGSIC buat kali ke-12 ini mengetengahkan tema: Towards A Sustainable Future: Harnessing 4IR for Green Transformation ini diadakan bagi mencungkil bakat, menonjolkan kemahiran dan membudayakan elemen kreativiti serta inovasi dalam proses pembangunan peta dan juga gajet/sistem yang berteraskan bidang Geomatik/Geoinformatik.
Program ini terbuka kepada semua pelajar yang mengambil pengkhususan dalam bidang Geomatik/Geoinformatik sama ada di peringkat Ijazah Sarjana Muda serta Diploma daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh Malaysia.
NGGSIC 2025 merekodkan penyertaan 56 kumpulan dengan jumlah peserta seramai hampir 200 orang dari 12 IPT seluruh negara meliputi dua (2) kategori dipertandingkan iaitu peta kreatif dan inovasi sistem / gajet.
Antara IPT yang terlibat adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM),Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Geomatika Malaysia (UGM), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Politeknik Ungku Omar (PUO), Politeknik Merlimau Melaka (PMM), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) dan Politeknik Kuching Sarawak (PKS).
Kesemua penyertaan ini dinilai oleh 10 orang juri berpengalaman dalam bidang geomatik/geoinformatik yang terdiri dari universiti awam, agensi kerajaan, pertubuhan serta pihak industri.
Bagi pertandingan peta kreatif (kategori Diploma), PUO berjaya meraih tempat pertama menerusi EV Charging Map Malaysia, POLISAS di tempat kedua menerusi Integrated Analysis Of Green Transportation Infrastructure And Air Quality Concern In Pahang manakala tempat ketiga pula sekali lagi menjadi milik PUO menerusi Solar Panel Location In Penisular Malaysia.
Kategori Ijazah Sarjana Muda pula , tempat pertama menjadi milik UiTM Cawangan Perlis menerusi Groundwater Potential Area Using Machine Learning Approach, UTM di tempat kedua menerusi Air Pollution In Industrial Areas of Peninsular Malaysia And Impact on Surrounding Temperature dan UiTM Shah Alam di tempat ketiga menerusi Attractions In Putrajaya.
Bagi pertandingan inovasi sistem/gajet (kategori Diploma), tempat pertama berjaya diraih oleh PKS menerusi Pothole Detection, POLISAS di tempat kedua menerusi Infracare360 dan UiTM Cawangan Perak menerusi Class Compass.
Kategori Ijazah Sarjana Muda pula, tempat pertama menjadi milik UTM menerusi Forecasting Sea Level Along Malaysian Coasts Via Geospatial Artificial Intelligence, UiTM Shah Alam di tempat kedua menerusi Development of Interactive Web Application For Surface And Sub-surface Utility In UiTM Shah Alam dan tempat ketiga menjadi milik UTM menerusi Estimating Above-Ground Biomass In UTM Recreational Forest.
Anugerah Khas turut diberikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajah Kalsom, Kuantan yang mengetengahkan hasil kreativiti dalam kategori peta kreatif bertajuk Teknologi Solar di Semenanjung Malaysia. Anugerah ini diberikan sebagai tanda penghargaan atas sokongan pihak sekolah khususnya dalam bidang geomatik.
Bertepatan dengan tema yang diangkat pada tahun ini, NGGSIC kali ke-12 ini menampilkan keunikan tersendiri iaitu menawarkan Awards on Green and Sustainable Development Goals Innovation. Anugerah khas ini adalah tajaan Malaysia Institute of Transport (MITRANS), UiTM, Shah Alam.
Anugerah ini telah diberikan kepada PKS bagi kategori inovasi sistem/gajet menerusi Pothole Detection manakalabagi kategori peta kreatif pula, anugerah diberikan kepada PUO menerusi EV Charging Map Malaysia.
Pada program yang sama turut diadakan pameran dari agensi kerajaan dan swasta yang berkait dengan bidang Geomatik, melibatkan pameran peralatan terkini dan perkongsian ilmu daripada pakar dalam bidang Geomatik melalui sesi bual bicara bertajuk “Geomatik dan Revolusi IR 4.0: Di Mana Peranan Jurukur?”.
Sempena NGGSIC 2025 ini juga turut diadakan Program SiswaPreneur Showcase 2.0 yang melibatkan aktiviti keusahawanan yang dijalankan oleh para pelajar POLISAS.
Penganjuran NGGSIC 2025 ini berupaya meningkatkan kualiti penyelidikan yang menggabungkan tiga (3) program utama iaitu penyelidikan, inovasi dan keusahawanan selaras dengan Lonjakan Ke-7 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, PPPM Pengajian Tinggi (PT) iaitu Ekosistem Inovasi yang menumpukan kepada melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.
Program ini juga secara tidak langsung mampu meningkatkan imej Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) sebagai peneraju TVET setanding institusi pendidikan tinggi awam yang lain dengan menyediakan peluang dan platform kepada pelajar khususnya untuk mempamerkan hasil inovasi mereka dan seterusnya diangkat ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.