132 Pegawai Wanita POLYCC Sertai Seminar “I Am First Class”

UKK JPPKK
01 November 2022
BERITA

15 Oktober 2022, Shah Alam – Seminar “I Am First Class” yang memfokuskan kepada Pemantapan dan Pemerkasaan Kepimpinan Pendidikan Tinggi telah berlangsung di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam, Selangor. Program anjuran Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) ini telah menghimpunkan seramai 132 peserta dari kalangan pengarah serta timbalan pengarah di politeknik dan kolej komuniti seluruh Malaysia.

Tujuan seminar ini diadakan, adalah untuk memantapkan imej diri agar sentiasa kekal terampil , elegan dan berkarisma dalam mengetuai pasukan di organisasi. Selain itu, seminar ini juga membolehkan peserta untuk lebih mengenali potensi diri untuk kemajuan kerjaya serta pasukan yang dipimpin.

Seminar pada hari ini telah disampaikan oleh Dr. Haji Kamril Juraidi Abdul Karim, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM Puncak Alam dan Puan Norliza Othman, Pengasas Teratak Spa serta Presiden Malaysian Association of Wellness Trainers (MAWT) juga merangkap sebagai salah seorang Majlis Penasihat Industri JPPKK.

YBrs. Ts. Zainab Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti,  turut terlibat sebagai panel dengan tajuk ‘Wanita Cerminan Masa Hadapan’.

“Seseorang pemimpin wanita itu perlu sentiasa bersyukur dan berusaha memperbaiki diri serta merendah diri untuk lebih berjaya” kata beliau dalam ucapannya.

Ts. Zainab Ahmad merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Pengarah untuk menerajui kepimpinan tertinggi di Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti ini. Justeru, perkongsian yang disampaikan oleh beliau memfokuskan kepada perkara yang berkaitan kepimpinan wanita yang mencorakkan landskap kepimpinan dalam pengurusan tertinggi. Di akhir majlis, beliau telah merasmikan Majlis Penutup Seminar “I Am First Class” ini.

Dalam pada itu, turut diadakan Perkhidmatan SPA oleh pelajar-pelajar Sijil Terapi Kecantikan dan SPA dari tujuh (7)  buah institusi iaitu, Kolej Komuniti Kluang, Kolej Komuniti Muar, Kolej Komuniti Kota Melaka, Kolej Komuniti Batu Gajah, Kolej Komuniti Tampin, Kolej Komuniti Sungai Petani, dan Kolej Komuniti Pasir Gudang.

Turut hadir, Dr. Norhayati Zakaria, Pengarah Bahagian Kurikulum, JPPKK serta Pengarah-Pengarah Bahagian JPPKK yang lain.

Dr. Haji Kamril Juraidi Abdul Karim

Puan Norliza Othman

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti