14 November 2024, Shah Alam – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) mendukung inisiatif hijau melalui kempen penanaman 100 juta pokok.
Sebanyak 36 pokok seperti meranti, cengal, kulim dan merbau di tanam di sekitar kampus PSA hari ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kawasan litupan hijau untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara.
Naib Yang Dipertua MPP PSA Mohd Syawal Haron berkata, inisiatif tersebut bertujuan memupuk kesedaran khususnya dalam kalangan mahasiswa dan golongan muda terhadap amalan hijau dan kelestarian alam.
“Selain memberi tumpuan terhadap akademik dan kemahiran TVET, mahasiswa juga prihatin terhadap isu alam sekitar dan program pada hari ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial kami.”
Sementara itu pengarah PSA Zainah Rujihan berharap mahasiswa terus mempergiat program-program menghijaukan kampus demi kelestarian alam pada masa hadapan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Hutan Negeri Selangor yang telah menyokong projek ini dan membekalkan pokok-pokok yang mana secara tidak langsung ianya dapat dijadikan sebagai elemen pembelajaran bagi seluruh warga PSA terutamanya pelajar-pelajar Diploma Teknologi Berasaskan Kayu.”
Seramai kira-kira 100 mahasiswa PSA hadir menjayakan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok peringkat PSA. Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Silvikultur dan Perlindungan Hutan Jabatan Hutan Negeri Selangor Khairunnisa M. Mamat, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Noor Hayati Mat Taib serta ahli mesyuarat pengurusan tertinggi PSA.
Semalam, sebanyak 400 pokok landskap turut diterima melalui program Kempen Hijau: Memupuk Kelestarian Alam Bersama Generasi Muda anjuran Kelab Seni Landskap PSA dengan kerjasama Pertubuhan Prihatin Interaktif Soliariti Malaysia (PRISMA).
Program bertujuan menggalakkan mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti kesukarelaan bersama pertubuhan bukan kerajaan seperti penanaman pokok dan merekabentuk landskap yang memberikan pengalaman praktikal serta meningkatkan kesedaran tentang isu-isu alam sekitar dan mencintai alam hijau untuk generasi akan datang.