17 pensyarah, pelajar POLIMAS sertai Program Kanvas Keselamatan Negara di Lorong Selamat

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
29 June 2026
Aktiviti Ketua Pengarah

Program Kanvas Keselamatan Negara Tahun 2026 yang berlangsung di Lorong Selamat, Alor Setar berjaya menampilkan kolaborasi seni luar biasa berskala besar yang menggabungkan kreativiti institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ia melibatkan penyertaan seramai 150 orang pelajar institusi pengajian tinggi daripada Pusat Pengajian Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS).

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 17 anak muda kreatif yang terdiri daripada gandingan pensyarah dan pelajar POLIMAS membuktikan kepakaran mereka apabila berjaya menterjemahkan mesej kedaulatan negara kedalam bentuk seni visual berimpak tinggi.

SEPANJANG LAPAN HARI

Kumpulan belia Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan (JBS) tersebut telah mendedikasikan tenaga sepanjang lapan hari bermula 10 Mei lalu untuk mengerah idea pada satu dinding khas di Lorong Selamat.

Pensyarah Penyelaras daripada POLIMAS, Ts. Nadia Che Abd Rani melahirkan rasa bangga terhadap komitmen luarbiasa yang ditunjukkan oleh para pelajarnya sepanjang program ini berlangsung.

“Komitmen dan disiplin tinggi yang dipamerkan oleh para pelajar sepanjang lapan hari ini membuktikan bahawa golongan mahasiswa bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mampu menyumbang khidmat bakti yang besar kepada komuniti.

Melalui karya seni visual ini, mereka berjaya menyebarkan mesej keselamatan negara dengan cara yang sangat kreatif dan dinamik,” kata beliau.

SATU PELUANG KEEMASAN
 
Wakil POLIMAS, Muhammad Daniel Ezairy Mohd Yusri, menyifatkan program ini sebagai satu peluang keemasan untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Kami mahu setiap goresan berus di dinding ini menceritakan peri pentingnya menjaga keharmonian negara. Seni ialah bahasa universal, dan menerusi mural ini, kami berharap mesej ‘Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama’ dapat menyerap terus ke dalam jiwa setiap pengunjung yang melalui lorong ini,” katanya.
 
Bagi Nurul Naqiyah Abdul Halim, penglibatan dalam projek ini bukan sekadar menguji bakat seni, malah berjaya menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air dalam kalangan mahasiswa.

BAKAL MENJADI TUMPUAN

“Mewarnakan dinding di ruang awam yang bakal menjadi tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Kedah 2026 memberi satu kepuasan yang luar biasa. Ia mengajar kami bahawa tanggungjawab mempertahankan negara boleh dizahirkan dalam pelbagai bentuk, termasuklah melalui sumbangan bakat dan kreativiti belia,” ujarnya dengan penuh semangat.
 
Program anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) serta penajaan Syarikat Alatmart ini diwujudkan sebagai kesinambungan kepada kejayaan program tahun lalu.

Di samping kumpulan belia POLIMAS, kekuatan utama program ini turut digerakkan oleh pelajar SCIMPA UUM yang memamerkan bakat seni mereka menerusipenghasilan mural kreatif di lima buah dinding utama di kawasan berkenaan.

PERASMIAN PENUTUP PROGRAM

Majlis perasmian penutup program tersebut telah disempurnakan dengan gilang-gemilang oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, bersempena dengan sambutan Hari Belia Negeri (HBN) Kedah.

Turut hadir Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya, Ketua Penolong Pengarah MKN Negeri Kedah,  Mohd Zulhilmi Zulkifly yang mewakili Pengarah Keselamatan Negeri Kedah, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Negeri Kedah, Datuk Zepri  Saad, serta Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah, Muhammad Radhi Mat Din.

Sumbangan padu daripada para pelajar IPTA ini bukan sahaja berjaya mengubah wajah estetika Alor Setar menjadi destinasi pelancongan bandar yang ikonik, malah meletakkan satu penanda aras baharu bagi penglibatan belia dalam agenda keselamatan komuniti sempena Sambutan Bulan Keselamatan Negara menjelang Julai ini. – JM

sumber https://jendelamadani.net/

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti