1st REGIONAL TVET INNOVATION COMPETITION THROUGH EXHIBITION (ReVEx) 2024

POLITEKNIK IBRAHIM SULTAN
12 November 2024
Penyelidikan dan Inovasi

Johor Bahru, 5 November 2024 – Pusat Penyelidikan dan Inovasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Persatuan Kedoktoran Teknikal Malaysia, Politeknik Ibrahim Sultan dengan kolaborasi bersama Politeknik Negeri Padang, Indonesia serta Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selatan telah menganjurkan 1st ReVEx 2024 yang berlangsung pada 3 – 5 November 2024 bertempat di Politeknik Ibrahim Sultan.

1st ReVEx 2024 dengan tema Memupuk Kelestarian Masa Hadapan: Mengintegrasikan Pendidikan TVET untuk Impak Global (Fostering Sustainable Futures: Integrating TVET Education for Global Impact) merupakan satu pertandingan dan pameran inovasi peringkat antarabangsa yang mengumpulkan hasil penyelidikan dan inovasi terkini berkaitan bidang kejuruteraan dan teknologi, sains dan matematik, seni dan rekabentuk kreatif, komputer dan ICT, teknologi makanan dan action research melibatkan penyertaaan ahli akademik dan juga pelajar pasca siswazah dari dalam dan luar negara. Platform ini adalah merupakan medan untuk peserta berkongsi dan menyampaikan hasil penyelidikan dan inovasi serta pemikiran berdasarkan dapatan atau teori baru.

Pertandingan dan pameran ReVEx ini telah menggalakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi, meningkatkan kerjasama aktif antara institusi dalam dan luar negara serta dan agensi tempatan, menggalakkan penyebaran ilmu dan pertukaran teknologi hasil penyelidikan dan inovasi, menyediakan platform bagi perkongsian pengetahuan dan pengalaman, mengetengahkan idea dan hasil inventor ke pengetahuan umum serta mengangkat ciptaan mereka ke persada dunia khasnya. Sebanyak 103 produk inovasi telah dipertandingkan dari pelbagai institusi dalam dan luar negara.

Datuk Lai Kok Fai, Pengarah Urusan ValourTech Machineries Sdn Bhd merangkap CEO@PolyCC Politeknik Ibrahim Sultan telah merasmikan majlis penutup dan menyampaikan anugerah kemenangan meliputi kategori professional dan kategori pelajar iaitu Best Green Award, Best Innovation Award, Best Commercial Award, Best Design Award Best Research Award yang membawa sijil dan wang tunai.

Datuk Lai Kok Fai, dalam ucapannya berkata “penyelidikan dan inovasi berupaya mengembangkan kemampuan para peserta sebagai peneroka pengetahuan yang profesional. Sebagai seorang yang profesional, seorang ilmuan bukan sekadar mengamalkan pengetahuan, tetapi berupaya merintis jalan bagi menangani pelbagai masalah dalam pelbagai bidang. Harapan saya, institusi pendidikan tinggi haruslah menjadi medan bagi melahirkan modal insan yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baharu bagi menjana kekayaan negara. Dalam melahirkan  negara yang maju dan berpendapatan tinggi, ia amat bergantung kepada usaha menjana ekonomi yang berinovasi”.

Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Dra. Yuli Yetri, M. Si Wakil Politeknik Negeri Padang Indonesia, Yang Berusaha Dr. Hjh. Nor Haniza binti Mohamad Timbalan Pengerusi Persatuan Kedoktoran Teknikal Malaysia, Yang Berusaha Dr. Anwar Hamid @ Pa Timbalan Pengarah (Inovasi) Pusat Penyelidikan dan Inovasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dan Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, Ulaimi Yahya.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti