2 ribu pelajar, kakitangan Politeknik Nilai bersolidariti untuk Palestin

POLITEKNIK NILAI
18 January 2024
Aktiviti Pelajar

6 November 2023, Bandar Enstek – Lebih 2,000 orang pelajar dan kakitangan Politeknik Nilai menyertai Perhimpunan Solidariti Peringkat Zon Negeri Sembilan di Dewan Sri Putra.

Pengarah Politeknik Nilai, Haji Wan Zulkifly Wan Zakaria berkata, perhimpunan tersebut merupakan tanda manifestasi sokongan solidariti untuk Palestin yang kini sedang berdepan dengan kesukaran susulan isu pertempuran Israel – Palestin.

“Perhimpunan berkenaan merupakan inisiatif ke arah usaha dalam membangunkan mahasiswa yang holistik mencakupi pelbagai aspek kehidupan bukan sekadar cemerlang daripada segi intelektual dan berkemahiran tinggi bahkan cakna dengan isu sejagat yang bakal membentuk jati diri mahasiswa sebagai modal insan berharga negara”.

Tambahnya, peserta perhimpunan yang dianjurkan oleh Politeknik Nilai dengan kerjasama Persatuan Cinta Gaza Malaysia itu turut mendengar ucapan dari aktivis Cinta Gaza, Muhammad Syahmi Afiq bin Mohd Shukari berkenaan situasi semasa di Palestin.

Menurutnya, Cinta Gaza Malaysia merupakan sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan bantuan kemanusiaan seperti bantuan keperluan dan barangan seharian, perubatan dan sebagainya secara aktif menggerakkan aktiviti bantuan untuk rakyat Palestin.

Serentak dengan perhimpunan tersebut , Tabung Palestin PNS telah dilancarkan oleh Wan Zulkifly bagi membolehkan sumbangan dari warga politeknik itu dikumpulkan sebelum kutipannya diserahkan kepada Tabung Khas Bantuan untuk Palestin yang diselaraskan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti