Gerik : Program Perak Style Golden Hands Award yang telah diadakan di AEON Mall Kinta City selama dua hari bermula pada 17-18 Ogos 2024 (Sabtu-Ahad). Program berkenaan bersempena dengan Hari Belia 2024 Peringkat KKNP. Kolej Komuniti Batu Gajah selaku penganjur program bersama-sama dengan 7 buah Kolej Komuniti Negeri Perak dan pihak AEON Mall Kinta City selaku penganjur lokasi. Majlis perasmian dan penutup telah disempurnakan oleh YBrs Encik Zulhisham bin Ahmad Shukori Pegawai Daerah Kinta.
Semasa ucapan beliau di majlis berkenaan menyatakan keperluan TVET menjadi pemacu utama atau game changer dalam usaha Kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan berkemahiran tinggi. Kerajaan secara berterusan akan meningkatkan keupayaan belia Malaysia dalam TVET bagi memastikan keperluan industri berteknologi tinggi akan dipenuhi oleh warga kerja tempatan. Kerajaan akan turut memastikan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji setimpal dapat diwujudkan selaras dengan usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Negara ini.
Di samping itu, semua pengajar perlu memperkukuhkan diri dengan ilmu pengetahuan, dan meningkatkan kepakaran, serta kemahiran secara berterusan dan berstruktur, menerusi pelbagai program kemahiran dan peningkatan kemahiran (reskilling dan upskilling), realiti sangkutan, serta memupuk amalan pembelajaran sepanjang hayat, dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan kepada pelajar adalah yang terkini dan memenuhi kehendak realiti.
Kepada para pelajar pula, manfaatkan ruang dan peluang yang telah diberikan untuk menuntut di Kolej Komuniti bagi mencipta kejayaan pada masa hadapan. Berusahalah bersungguh – sungguh dengan mempersiapkan diri dengan ilmu kemahiran, demi mendepani realiti dunia luas yang kian mencabar dan berubah – ubah.
Alumni dan bekas pelajar yang telah berjaya perlu diangkat sebagai ikon dan duta kepada Kolej Komuniti. Saya juga berharap ikon-ikon ini dapat membantu menyebarluaskan kejayaan TVET agar ianya menjadi sumber inspirasi kepada pelajar – pelajar dan masyarakat di negeri Perak terhadap program TVET di Kolej Komuniti Negeri Perak.
Penghasilan busana batik dari pelajar – pelajar Sijil Seni Visual Kreatif KK Chenderoh dan Sijil Fesyen & Pakaian KK Batu Gajah pada hari ini berupaya mengangkat jenama program pengajian yang mereka pelajari di Kolej Komuniti. Kerjasama yang baik bersama pihak industri dan kolaborasi yang erat ini diharapkan lebih murni dalam mencapai hasrat pimpinan negara iaitu menghasilkan modal insan yang berketrampilan dan holistik sesuai dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan, tambahnya lagi.