
Jendela Madani
Oleh: Sholina Osmas
3 Mar 2025
Seramai 23 pelajar Semester 1, Diploma Pemasaran (DPR1B), Politeknek Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra telah melaksanakan tanggungjawab sosial melalui Program Ambang Ramadan 2025.
Kenyataan media POLIMAS memaklumkan program ini telah berlangsung dengan penuh meriah di Masjid Al-Ummah, Telok Chengai, Jalan Kuala Kedah, Kedah.
Sepanjang program ini pelbagai aktiviti yang melibatkan masyarakat setempat dianjurkan.
Penasihat program, Mohd Nazimi Zaim Ismail, yang juga pensyarah Jabatan Pengajian Am POLIMAS, menzahirkan rasa bangga terhadap usaha para pelajar dalam menjayakan program ini.
MENUNJUKKAN TAHAP KEPIMPINAN
“Sebagai pelajar baharu, mereka telah menunjukkan tahap kepimpinan dan tanggungjawab yang tinggi,” katanya yang juga Imam Masjid Al-Ummah, Telok Chengai, Kedah.
Beliau berkata, dengan memberikan pendedahan awal seperti ini akan menyedarkan mereka akan kepentingan menyumbang kepada masyarakat dan bagaimana nilai etika dapat diterapkan dalam kehidupan seharian
Program ini turut mendapat sambutan hangat daripada penduduk kariah yang memberikan maklum balas positif terhadap usaha pelajar POLIMAS dalam membantu, berinteraksi dan memahami peranan mereka sebagai individu yang bertanggungjawab dalam komuniti.
Jalinan erat yang terbentuk melalui program ini membuktikan bahawa pendidikan bukan sahaja berfokus kepada akademik, tetapi juga membentuk nilai kesukarelawan dan pembangunan sosial dalam kalangan pelajar.
MEMASAK BUBUR KANJI
Juga diadakan Pertandingan Memasak Bubur Kanji di mana pihak masjid mendapat kerjasama dari Kolej Komuniti Arau dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) selaku juri pertandingan.
Salah seorang peserta program, Nurul Husna Ahmad Rizan, pengalaman ini telah membuka matanya tentang peranan pelajar dalam komuniti.
“Kami bukan sekadar hadir untuk menimba ilmu di dalam kelas, tetapi juga perlu menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
MENUNJUKKAN SIKAP MESRA
Seorang warga kariah masjid, Wan Nordin Wan Daud, turut menyatakan rasa gembira dengan kehadiran para pelajar yang menunjukkan sikap mesra dan bersemangat dalam menjayakan program ini.
“Alhamdulilah, kehadiran anak-anak muda ini membawa kemeriahan dan semangat baharu kepada kariah kami,” katanya.
Jelasnya, mereka bukan sahaja membantu menjayakan aktiviti, tetapi juga menunjukkan nilai budi bahasa yang tinggi.
Semoga Program Ambang Ramadan 2025 ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus terlibat dalam aktiviti kesukarelawan dan memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat pada masa hadapan. – JM