25 pelajar IPT ikuti Program Tahsin al-Quran Bersanad di Mesir

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
16 September 2024
Akademik, BERITA

16 September 2024, Sepang – Seramai 25 pelajar program pensijilan Tahfiz al-Quran JAKIM-IPT berlepas ke Mesir bagi menyertai Program Tahsin al-Quran Bersanad.

Mereka terdiri daripada pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan University of Cyberjaya (UoC).

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dato’ Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi meletakkan harapan agar para peserta berjaya dalam program tersebut sekali gus menjaga imej kementerian dan negara.

“Kita sedia maklum anda cemerlang dalam akademik namun kejayaan sebagai seorang huffaz merupakan ikon kepada kementerian,” ujarnya ketika bertemu dengan delegasi Program Tahsin al-Quran Bersanad di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Turut hadir Pengarah PSA Zainah Rujihan dan Pengarah Pusat Islam UNITEN Prof. Madya Dr. Amanuddin Shamsuddin.

Menurut Dato’ Dr. Mohd Zahari, kerajaan sangat menggalakkan para pelajar terutamanya yang mempunyai latar belakang pendidikan agama islam dan tahfiz untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Pada 15 September lalu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah merasmikan Majlis Himpunan 24,000 Huffaz Malaysia yang turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri,”

“Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memartabatkan aliran agama serta bukti negara memerlukan pelajar-pelajar yang mempunyai bakat terutamanya menghafal al-Quran.”

Program Tahsin al-Quran Bersanad di Mesir yang bermula pada 16 September hingga 5 Oktober 2024 bertujuan mendalami ilmu pengajian al-Quran dengan manhaj talaqqi dan musyafahah yang benar.  Melalui program ini, para pelajar berpeluang menambah pengetahuan berkaitan ilmu tajwid dengan lebih mendalam seterusnya mendapat sanad bacaan al-Quran bersama para masyaikh yang diiktiraf dunia.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti