25 Peserta OKU Sertai Kursus Baikpulih Telefon Pintar dan Keusahawanan di KKKP

KOLEJ KOMUNITI KUALA PILAH
21 July 2025
Komuniti, Uncategorized

Kuala Pilah, 17 Julai 2025 – Seramai 25 peserta daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) telah menyertai Kursus Baikpulih Telefon Pintar dan Keusahawanan yang berlangsung selama lapan hari di Kolej Komuniti Kuala Pilah (KKKP). Program anjuran Auditask (M) AUDITASK yang telah dilantik oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDC) sebagai Pengurus Program bagi Program Latihan Madani (PLM 2025 PWD – Orang Kelainan Upaya). Kursus ini bermatlamat memberi pendedahan teknikal dan keusahawanan kepada peserta dalam bidang baikpulih telefon pintar yang semakin mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Program yang bermula pada 7 Julai dan berakhir pada 17 Julai ini diadakan di Bengkel Baikpulih, KKKP. Kursus ini merupakan satu inisiatif inklusif untuk memperkasakan komuniti OKU melalui latihan berfokuskan kemahiran praktikal dan berorientasikan industri. Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada struktur dan komponen asas telefon pintar, kaedah mengenal pasti kerosakan, teknik baikpulih skrin dan bateri, serta penggunaan peralatan diagnostik.
Menurut penyelaras kursus, Puan Halijah Binti Ismail, program ini bukan sahaja menekankan kemahiran teknikal, malah turut menerapkan elemen keusahawanan sebagai persediaan peserta untuk menjana pendapatan secara berdikari.

“Selain belajar membaiki telefon, peserta juga diajar tentang asas keusahawanan, model perniagaan, pengurusan kos serta perkhidmatan pelanggan. Kami berharap mereka dapat menjadikan kemahiran ini sebagai sumber pendapatan yang mampan,” katanya.
Tenaga pengajar kursus terdiri daripada dua pensyarah berpengalaman dalam bidang teknologi dan keusahawanan, iaitu Ts. Amir Arief Bin Zainal Abidin dan Encik Sharizat Bin Mokhtar. Peserta turut dibekalkan dengan peralatan seperti toolkit membaiki telefon, voltmeter USB, dan komponen gantian bagi latihan amali.


Antara pengisian menarik dalam kursus ini ialah sesi simulasi perniagaan, pembentangan projek, ujian amali individu dan sesi refleksi kumpulan. Penilaian akhir dijalankan secara teori dan praktikal untuk menguji tahap penguasaan peserta.


Program ini berakhir dengan majlis penutup ringkas yang dihadiri oleh Pengerusi Penasihat Kolej Komuniti Kuala Pilah Datuk Ahmad Tajudin bin Mohamed dan Pengerusi Auditask (M) Sdn Bhd serta sesi beramah mesra bersama peserta. Pihak penganjur berharap kejayaan penganjuran kursus ini dapat dijadikan model untuk pelaksanaan program seumpamanya di masa hadapan.

Melalui inisiatif ini, Kolej Komuniti Kuala Pilah terus komited menyokong agenda pendidikan inklusif dan pembangunan komuniti berkeperluan khas ke arah memperkukuh penyertaan mereka dalam bidang teknikal dan keusahawanan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti