286 peserta sertai i-CompEx anjuran POLIMAS & UKM

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
18 December 2024
Penyelidikan dan Inovasi

suara.tv, 28 Ogos 2024

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memenangi Special Award Platinum Innovation dalam pertandingan i-CompEx 2024 dengan inovasi ‘Biomag – Biomimetic Coated Mgsn Alloy’ meraih wang tunai RM1508.24 beserta plak iringan dan sijil – Foto POLIMAS

JITRA – Seramai 286 peserta dari dalam dan luar negara telah menyertai pertandingan inovasi i-CompEx 2024 anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam (POLIMAS) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Sri Mas, POLIMAS baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Muhamad Rumzi Mamat berkata, inovasi bukan sekadar mencipta sesuatu yang baharu, ianya merangkumi kapasiti kolektif dan menambah nilai penting dalam semua aspek kehidupan.

Tonggak ketiga dalam Malaysia Madani, menekankan inovasi sebagai penggerak di sebalik i-CompEx 2024, menyerlahkan kepentingan kritikal untuk memperbaharui dan memperkasakan sumber manusia secara berterusan untuk memacu kemajuan yang luar biasa.

Ts. Muhamad Rumzi yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian ketika merasmikan penutup pertandingan i-CompEx 2024 di sini.

Beliau berkata, i-CompEx 2024 memupuk budaya peningkatan dan pertumbuhan berterusan, daripada penemuan saintifik kepada kemajuan teknologi, memastikan kita kekal di barisan hadapan pembangunan global.

“i-CompEx merupakan inisiatif POLIMAS bersama UKM disokong oleh JPPKK bagi menjadikan aktiviti inovasi sebagai nadi penggerak dalam melahirkan modal insan berkualiti dan kreatif.

“Pertandingan ini menghasilkan rekacipta terbaru serta terkini yang boleh digunapakai dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan memudahkan proses kerja dan aktiviti teknikal dalam penghasilan produk terbaru.

“Pertandingan ini menyediakan platform kepada staf, pensyarah dan penyelidik dari seluruh dunia untuk mempertandingkan inovasi terkini yang dihasilkan oleh mereka, ”katanya.

“Selain itu, ianya menghimpunkan inovasi terkini yang dicipta oleh pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) , pensyarah, dan guru bagi berkongsi serta bertukar-tukar idea dan pengalaman daripada inovasi yang dihasilkan dan seterusnya memperkembangkan lagi jaringan hubungan sesama sendiri, ”katanya lagi.

Sementalah itu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris yang mewakili Ketua Pengarah JPPKK berkata, i-CompEx secara unik mengumpulkan pemimpin dan pemikir dari pelbagai bidang, saintis, ahli akademik, jurutera, usahawan dan berwawasan bersatu dalam matlamat membentuk masa depan yang lebih cerah.

“Apa yang benar-benar membezakan persaingan ini ialah keupayaannya untuk memberi inspirasi kepada para peserta untuk berfikir diluar sempadan konvensional, memacu inovasi yang luar biasa.

“Sebanyak sembilan kategori dalam iCompEx 2024 dipertandingkan termasuk individu dari POLYCC, sekolah, IPT, agensi kerajaan, swasta, selain itu, peserta dari negara luar seperti, Bangladesh, Indonesia, Libya dan Arab Saudi, dan turut disertai oleh seramai 47 peserta bagi kategori pitching TVET.

“Tahap penglibatan yang mengagumkan ini bukan sahaja mempamerkan kekuatan persaingan peserta tetapi memupuk kerjasama yang berharga antara institusi akademik dan sektor industri, ”katanya lagi.

Menerusi kenyataan oleh POLIMAS memaklumkan pertandingan inovasi ini mengikut kategori, antaranya, Rekabentuk Alam Bina & Rekabentuk Dalaman; Pembinaan dan Bahan; Mesin, Peralatan & Proses Pengilangan; ICT & Multimedia, kategori Elektrik, Elektronik & Telekomunikasi.

Selain itu, Pengangkutan, Automotif & Penerbangan; Pertanian, Alam Sekitar & Tenaga Boleh Diperbaharui; Pengajaran & Pembelajaran, dan kategori Perkhidmatan dan Pemasaran Produk.

Bagi kategori Rekabentuk Alam Bina & Rekabentuk Dalaman, tempat pertama dimenangi oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USM) dengan inovasi bertajuk ‘Indoor Comfort Environment Ice Box’.

Kategori Pembinaan dan Bahan, pula tempat pertama dimenangi oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
dengan inovasi bertajuk ‘Biomag – Biomimetic Coated Mgsn Alloy’.

Bagi kategori Mesin, Peralatan & Proses Pengilangan, tempat pertama dengan markah tertinggi dimenangi oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan inovasi bertajuk ‘C-Flatfit 3D Insole’.

Bagi kategori ICT & Multimedia, tempat pertama dimenangi oleh Universiti UKM dengan inovasinya ‘Qc Bloom System: Exam Question Classification Based On Bloom S Taxonomy Cognitive Domain Using Deep Learning’.

Bagi kategori Elektrik, Elektronik & Telekomunikasi, tempat pertama dimenangi oleh Politeknik Ungku Omar (PUO) dengan inovasi bertajuk ‘Smart Crack Detector-Preliminary Inspection Of Wall Failure’.

Bagi kategori Pengangkutan, Automotif & Penerbangan, tempat pertama dimenangi oleh Kolej Vokasional Arau dengan inovasinya ‘Smart Fuel Cap’.

Bagi kategori Pertanian, Alam Sekitar & Tenaga Boleh Diperbaharui, tempat pertama dimenangi oleh UKM dengan inovasi bertajuk ‘Bio-Polyurethane Coated Urea As Controlled Release Fertilizer’.

Bagi kategori Pengajaran dan Pembelajaran, tempat pertama dimenangi oleh Kolej Kemahiran Tinggi Mara Kuantan dengan inovasi bertajuk ‘PLC Edu Kit 3D-S’.

Bagi kategori Perkhidmatan dan Pemasaran Produk, tempat pertama dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Jitra 3 dengan inovasi bertajuk ‘CALDURIO’.

Pingat emas, perak dan gangsa turut diberikan kepada pemenang mengikut kepada markah yang diperolehi menyaksikan POLIMAS meraih 7 Emas, 15 Perak dan 4 Gangsa.

Hadiah khas kepada 5 kategori termasuklah anugerah utama iaitu Platinum Award dimenangi oleh UniMAP dari kategori B dengan inovasi bertajuk ‘Biomag – Biomimetic Coated Mgsn Alloy’ mendapat plak iringan dan meraih wang tunai RM1508.24 beserta sijil.

Selain itu, Special Award – Young Innovation kepada Maktab Mahmud Alor Setar dan Special Award Commercial Value dianugerahkan kepada Kolej Kemahiran Tinggi Mara Kuantan dengan inovasi bertajuk ‘PLC Edu Kit 3D-S’.

Manakala anugerah khas Special Award Intellectual Property dianugerahkan kepada UKM dengan inovasi bertajuk ‘Bio-Polyurethane Coated Urea As Controlled Release Fertilizer’.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti