307 Warga PHT Terima Bantuan Banjir

UKK JPPKK
28 September 2023
BERITA, Umum

22 Disember 2022, Kuala Berang – Baru-baru ini negara telah dikejutkan dengan beberapa kejadian bencana alam seperti banjir yang melanda terutamanya di sebelah pantai timur tanah air. Institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Politeknik Hulu Terengganu (PHT) tidak terkecuali dalam berhadapan dengan kejadian tersebut.

Seramai 239 pelajar dan 68 staf PHT yang mengalami detik cemas akibat terputus bekalan makanan telah dihulurkan bantuan segera daripada Bilik Gerakan Banjir Hulu Terengganu seperti bekalan makanan antaranya beras, sardin, kari ayam, susu pekat manis, biskut, bihun, minyak masak dan air mineral.

Pelajar PHT yang ketika ini sedang menduduki peperiksaan akhir Sesi 1 2022/2023 turut menerima sumbangan dari agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) antaranya toto, tikar, tuala, kain pelikat dan kain batik sebagai kegunaan harian dan keselesaan mereka.

Sumbangan ini telah disampaikan oleh Pengarah PHT, Haji Azahan Haji Daud.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Haji Mohd Zahari Ismail dalam satu kenyataan turut menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Pengurusan Tertinggi JPPKK komited dalam membantu warga yang terjejas ekoran banjir dengan segera agar kebajikan mereka terjaga.

“Saya mendapat perkhabaran tentang bencana banjir yang melanda Politeknik Hulu Terengganu, kebanyakan pelajar dan staf terkesan dengan bencana banjir ini.”

Beliau juga mengajak warga POLYCC yang lain untuk turut serta menghulurkan bantuan dan mendoakan kesejahteraan warga PHT.

“Saya juga menyeru agar warga POLYCC akan turut membantu dalam meringankan beban saudara kita ini. Semoga warga PHT tabah dengan ujian ini.” Ujar beliau dalam kenyataan di Facebook baru-baru ini.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti