
PORT DICKSON, 23 September – Kolej Komuniti Jempol Negeri Sembilan (KKJNS) dengan kerjasama semua Kolej Komuniti Negeri Sembilan iaitu Kolej Komuniti Jelebu (KKJU), Kolej Komuniti Kuala Pilah (KKKP), Kolej Komuniti Rembau (KKRB) dan Kolej Komuniti Tampin (KKTNS) mengadakan Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan bagi tahun 2025 pada 23 September 2025 (Selasa), di Dewan Wawasan, Politeknik Port Dickson.
Tujuan penganjuran Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan tahun 2025 bukan sahaja untuk meraikan usaha gigih dan penat lelah para graduan, tetapi juga meraikan keluarga, pensyarah dan seluruh warga Kolej Kolej Komuniti Negeri Sembilan yang turut sama menyumbang ke arah kejayaan graduan. Seramai 346 orang graduan diraikan pada majlis ini yang terdiri daripada Kolej Komuniti Jempol 93 orang, Kolej Komuniti Jelebu 182 orang, Kolej Komuniti Rembau 40 orang, Kolej Komuniti Tampin 18 orang dan Kolej Komuniti Kuala Pilah 13 orang.
Majlis ini melambangkan permulaan baharu buat para graduan untuk melangkah ke alam kerjaya atau melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sejajar dengan peranan Kolej Komuniti yang sentiasa komited melahirkan graduan yang berdaya saing, seimbang antara kemahiran teknikal dan insaniah serta bersedia menyahut cabaran Revolusi Industri 4.0.
Majlis ini disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Jalaluddin Alias, EXCO (Kanan) Kerajaan Negeri Sembilan. Dalam ucapannya, beliau berharap agar para graduan menjadikan kejayaan yang diperoleh sebagai titik permulaan baharu yang lebih mencabar dan terus menimba ilmu sesuai dengan perkembangan teknologi terkini yang akhirnya akan kembali menyumbang kepada masyarakat dan negara sebagai tenaga kerja mahir.
Majlis konvokesyen kali ini turut mengiktiraf Nur Shahira Nadia Zulkifli, 21 graduan program Sijil Terapi Kecantikan dan Spa dari Kolej Komuniti Tampin sebagai penerima Anugerah Ketua Pengarah. Nur Shahira Nadia dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik dan penglibatan aktif beliau dalam membawa nama Kolej Komuniti Tampin sehingga ke peringkat antarabangsa di Massage World Cup 2023 dan International Competition on Sustainable Education 2023. Beliau juga aktif sebagai Yang Di-Pertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Kolej Komuniti Tampin.
Bat Mohammad Uwais Bat Kamaruzzaman, 22 pula dipilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Kolej Komuniti (AUKK) bagi majlis konvokesyen kali ini. Graduan Program Sijil Teknologi Peranti Mudah Alih dari Kolej Komuniti Kuala Pilah ini telah menceburi bidang keusahawanan sejak bergelar pelajar lagi bermula dengan produk berasaskan madu kelulut dan kini beliau merupakan pengasas Syarikat Chevrados Resources yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Kini, Bat Mohammad Uwais memfokuskan perniagaan berkaitan saham dan jual beli emas dengan memperoleh pendapatan lumayan setiap bulan. Bat Mohammad Uwais telah membuktikan bahawa Kolej Komuniti bukan sahaja institusi TVET yang memperkasakan pelajar dengan ilmu kemahiran, malah mampu melahirkan usahawan pelbagai bidang melalui ilmu keusahawanan yang diterapkan dalam bilik kuliah.
Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan tahun 2025 turut menzahirkan penghormatan kepada Allahyarham Muhammad Alif Iskandar Muhamad Rizal, graduan Program Sijil Teknologi Senibina dari Kolej Komuniti Jempol yang telah meninggal dunia pada 21 September 2024. Allahyarham diwakili bapanya, Muhamad Rizal Ujang untuk menerima sijil tamat pengajian.
Tuntasnya, Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan Tahun 2025 menjadi detik bersejarah buat graduan yang diraikan, sekaligus mengangkat agenda pemerkasaan TVET yang digariskan kerajaaan melalui kerangka Malaysia Madani.