70 Produk Inovasi Bersaing Di Pertandingan POLYCCOM’24

KOLEJ KOMUNITI JELEBU
08 August 2024
Penyelidikan dan Inovasi

Jelebu, 7 Ogos 2024 – Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau ‘Technical and Vocational Education and Traning’ (TVET) bermatlamat melahirkan individu yang mempunyai kemahiran dalam penyelidikan gunaan, pembangunan produk inovasi dan pengkomersialan. Bagi menjayakan matlamat tersebut, Kolej Komuniti Jelebu dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menganjurkan Pertandingan POLYCC Komersial Peringkat Kebangsaan 2024 (POLYCCOM’24).

Pertandingan yang disertai oleh pensyarah-pensyarah Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) ini merekodkan penyertaan tertinggi iaitu sebanyak 70 penyertaan untuk tahun 2024 yang kini memasuki tahun ke-4 penganjurannya.  

Sembilan kategori dipertandingkan pada edisi kali ini iaitu Peralatan, Mesin, Pembinaan dan Bahan, Teknologi Makanan, Rekabentuk, Seni dan Kreatif, Pengajaran dan Pembelajaran, Multimedia dan ICT, Elektrik dan Elektronik, IOT, IR4.0 dan AI, Produk Hijau, Pertanian dan Alam Sekitar dan kategori Kesihatan dan Kecantikan. 

“Berdasarkan kepada Pelan Strategik Pengkomersialan Politeknik dan Kolej Komuniti 2021-2028, kita kini berada di fasa kedua iaitu Fasa Pembudayaan Pengkomersialan yang telah bermula dari tahun 2023 dan akan berakhir pada tahun ini.”

“Selanjutnya kita akan beralih ke Fasa Peningkatan pada tahun 2025 hingga tahun 2026 dan bergerak menuju ke fasa terakhir iaitu Fasa Pemerkasaan dan Kecemerlangan pada tahun 2027 hingga tahun 2028,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK Ts. Hj. Muhamad Rumzi Mamat dalam majlis perasmian penutup POLYCCOM’24.

Tambah beliau lagi, JPPKK sentiasa komited untuk memperkasakan penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan melalui permohonan peruntukan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12). “Hasilnya, JPPKK telah menerima peruntukan sebanyak RM10 juta untuk aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan tahun 2024-2025 dan RM3.8 juta khusus untuk program pengkomersialan,” ujarnya.

POLYCCOM’24 menyaksikan Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan melalui produk B’Fresh – Kesegaran Kulit Secara Semulajadi.

Hadir sama dalam majlis perasmian penutup POLYCCOM’24 ialah Pengarah Kolej Komuniti Jelebu, Abdul Rahim Ibrahim dan Timbalan Pengarah PPI JPPKK, Ts. Dr. Nurhadi Muda.

Ts. Hj. Muhamad Rumzi Mamat menyampaikan hadiah Juara Keseluruhan POLYCCOM’24 kepada pemenang dari Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah melalui produk inovasi B’Fresh – Kesegaran kulit secara semulajadi.
Ts. Hj. Muhamad Rumzi Mamat meluangkan masa melawat reruai peserta yang menyertai pertandingan POLYCCOM’24

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti