suara.tv, 30 Ogos 2024
Peserta program ‘Halatuju Pendidikan POLYCC Bersama Guru Bimbingan Kaunseling Zon Utara’ di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah – Foto POLIMAS
JITRA – Guru-guru berperanan penting menyampaikan maklumat kepada pelajar tentang kebaikan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang menumpukan kepada latihan praktikal ke arah kemahiran dalam pembelajaran dan peluang kerja yang sangat meluas setelah tamat belajar nanti.
Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah , Hj. Mohd Kamal Hashim berkata demikian pada program Halatuju Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) bersama Guru Bimbingan Kaunseling Zon Utara 2024.
Seramai 81 orang guru bimbingan dan kaunseling telah menyertai program sehari itu, didedahkan mengenai TVET di POLYCC anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Kolej Komuniti Bandar Darulaman (KKBDA), Salmah Ijam; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Hamizi Yahya; Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, JPN Kedah, Hj. Abdul Rahman Mansor, dan Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, JPN Kedah, Ismajulian Ismail
Mohd Kamal berkata, guru seharusnya membantu menyediakan pelajar untuk kemasukan ke POLYCC, kerana sekolah adalah pembekal pelajar kepada institusi ini.
“Ini penting kepada negara kerana pelajar yang kita bekalkan akan dilatih oleh pihak POLYCC untuk bagi tujuan tenaga kerja kepada industri yang bertujuan untuk memperkembangkan ekonomi negara ke arah yang mampan.
“Kita tidak mahu pelajar lepasan SPM menjadi kutu rayau tidak bekerja dan menghabiskan masa tanpa faedah, sepatutnya, kita perlu menggalakkan mereka menimba ilmu menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan negara,”katanya.
“Sokongan guru-guru adalah amat diperlukan untuk menjayakan hasrat ini demi untuk kebaikan pelajar itu sendiri, ”katanya lagi.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah POLIMAS, Dr. Mhd. Azmin Mat Seman berkata, program ini dapat meningkatkan pengetahuan kepada guru-guru mengenai bidang TVET yang meluas pada masa kini untuk didedahkan kepada pelajar lulusan SPM dan STPM.
Beliau berkata, usaha ini selaras dengan matlamat negara untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan kompetitif, disamping peluang kerjaya yang luas dalam bidang TVET.
“Program ini diharapkan akan memberikan penjelasan yang lebih lengkap kepada guru-guru mengenai syarat-syarat kemasukan belajar ke POLYCC dan peluang pekerjaaan yang disediakan untuk lulusan TVET,”ujarnya.
“Pihak POLYCC memerlukan kerjasama guru-guru untuk mendapatkan lebih ramai pelajar untuk belajar dalam bidang TVET bagi memenuhi keperluan tenaga pekerja dari pihak industri yang sangat memerlukannya, ”ujarnya lagi.
Sementalah itu, guru bimbingan dan kaunseling dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mergong, Nor’aza Ismail berkata, program ini baik didedahkan kepada guru sekolah.
“Melaluinya, saya dapat maklumat yang lengkap tentang syarat kelayakan kemasukan belajar ke POLYCC, di mana saya boleh kongsikan dengan pelajar lulusan SPM,”katanya.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Siti Sarah Abdullah pula berkata, program ini sangat baik dan berkesan, ianya mendedahkan kepada guru mengenai pembelajaran dan peluang yang ada di POLYCC, sebelum ini beliau tidak mengetahui sepenuhnya bidang TVET.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pegawai Perhubungan Awam POLIMAS, Shahril Annuar Ahmad memaklumkan, taklimat mengenai Politeknik disampaikan oleh pensyarah utama POLIMAS, Mohd Lutfi Mohd Khidir.