PUO Catat Sejarah, Pertama Kali Program MSK disiarkan secara langsung melalui Nasional FM

POLITEKNIK UNGKU OMAR
31 July 2024
Aktiviti Pelajar

IPOH, 31 Julai – Buat julung kalinya, saluran radio Nasional FM (RTM) telah mengadakan siaran luar mereka di Politeknik Ungku Omar, melalui segmen 3 Suara pada hari Isnin 29 Julai 2024 bermula jam 6.00 hingga 10.00 pagi. Buat pertama kali, Aktiviti Minggu Suai Kenal (MSK) PUO dapat ditonton dan didengari oleh lebih 1.3 juta pendengar di seluruh Malaysia.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang 4 jam siaran langsung adalah sesi persembahan bakat pelajar Lantera Seni PUO, temu bual bersama Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PUO, sesi temu bual khas bersama Pengarah PUO, sesi perkongsian ilmu bersama pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Kejuruteraan Elektrik, sesi chit chat bersama alumni PUO serta sesi temubual bersama Unit Komunikasi Korporat PUO.

Siaran Luar ‘3 Suara’ Nasional FM turut diselangi dengan sesi kuiz kenegaraan serta sesi ramah mesra pelajar bersama para penyampai Nasional FM yang turut disertai penyampai Perak FM.

Lebih menarik lagi, penampilan pelajar baharu PUO, Muhammad Izzat Abdul Rahman yang kisahnya tular baru-baru ini turut ditemubual oleh para penyampai bagi berkongsi kisah dan harapan.

Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah, turut meluahkan rasa gembira dan berbangga dengan penganjuran program ini di kampus PUO. Beliau berkata, “Kami sangat berbesar hati dapat menjadi tuan rumah untuk program siaran luar Nasional FM. Program ini bukan sahaja memperkenalkan PUO kepada khalayak yang lebih luas, tetapi juga memberikan peluang kepada pelajar kami untuk menunjukkan bakat dan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang. Kami berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan.”

Dr. Shamsuri Abdullah juga menyatakan bahawa program seperti ini mampu memberikan impak positif kepada pembangunan pelajar dari segi pengalaman praktikal dan pendedahan kepada industri penyiaran. “Penglibatan pelajar dan pensyarah dalam program ini memberikan mereka pengalaman yang berharga dan membuka peluang untuk mereka memahami dengan lebih mendalam industri penyiaran. Ini selaras dengan misi kami untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi,” tambahnya.

PUO merupakan lokasi ke-11 bagi program 3 Suara Nasional FM.

Muhammad Izzat bin Abdul Rahman, pelajar baharu PUO yang tular baru-baru ini turut ditemubual oleh Nasional FM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti