LIPUTAN BERITA : Pelajar KKHL raih tempat ketiga pertandingan Polycc Skills 2024

KOLEJ KOMUNITI HULU LANGAT
01 September 2024
Uncategorized

Oleh:  Wartawan MalaysiaGazette

KAJANG – Pelajar semester satu, Program Sijil Penyejukan dan Penyamanan Udara, Adam Faris Sopian, 19, berjaya meraih tempat ketiga daripada 10 penyertaan antara politeknik dan kolej komuniti seluruh Malaysia dalam Pertandingan Polycc Skills 2024 bagi bidang kemahiran penyejukan dan penyamanan udara baru-baru ini.

Pelajar Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) itu mengikuti pertandingan selama empat hari yang berlangsung di bengkel penyejukan dan penyamanan udara, Politeknik Ungku Omar, Ipoh.

Pertandingan bagi bidang kemahiran penyejukan dan penyamanan udara untuk kali ini telah memberi tumpuan kepada dua modul iaitu modul A berkenaan dengan fabrikasi dan modul B tentang pendawaian elektrik.

Menurut jurulatihnya, Shahazrin Mohd Nasir (jurulatih fabrikasi) dan Mohd Nashmal Mohamad Rozee (jurulatih pendawaian elektrik), Adam Faris dipilih untuk mewakili KKHL dalam pertandingan Polycc Skills 2024 bagi bidang kemahiran penyejukan dan penyamanan udara berdasarkan kejayaannya melepasi sesi uji bakat dengan cemerlang anjuran pihak kolej pada 13 Mac lalu.

“Salah satu kelebihan Adam Faris ialah dia mempunyai pengalaman membaiki penghawa dingin walaupun dia hanya berusia 19 tahun, di mana dia telah mendapat kemahiran tersebut melalui bekerja dengan pakciknya yang juga seorang pekerja servis air-cond sebelum dia belajar di KKHL.

“Minat dan pengalaman Adam Faris mendorong beliau terpilih dalam menyertai pertandingan kali ini.

“Kami telah memberi latihan yang intensif serta tertumpu kepada Adam Faris selama sebulan mulai awal bulan Jun sebagai persedian sebelum pertandingan.

“Kami berasa amat bangga apabila Adam Faris dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam pertandingan Polycc Skills 2024 dan diamerupakan satu-satunya pelajar semester satu kalangan peserta bidang ini, ” katanya dalam kenyataan.

Adam Faris merupakan pelajar baharu KKHL pada Januari 2024 bagi kemasukan sesi II 2023/2024.

Mengulas mengenai kejayaan itu, Adam Faris berkata, banyak pengalaman dan ilmu berkaitan bidang penyejukan dan penyamanan udara diperolehi daripada pertandingan itu.

“Bagaimanapun saya akan teruskan usaha untuk kejayaan masa hadapan saya dalam bidang ini,” katanya.

Pertandingan Polycc Skills 2024 ialah pertandingan kemahiran di peringkat nasional dan antarabangsa yang mana penganjurannya adalah untuk memilih wakil pelajar politeknik dan kolej komuniti yang berpotensi untuk mewakil politeknik dan kolej komuniti Malaysia ke Asean Skills Competition dan World Skills Competition. – MalaysiaGazette

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti