IPOH: Ketika ibu bapa lain gembira meraikan kejayaan anak-anak pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar ke-52 di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini, berbeza kisahnya dengan Zawiyah Demanis.
Wanita ini menguatkan semangatnya untuk tampil ke atas pentas bagi menerima Sijil Diploma Anumerta buat arwah anaknya Ahmad Hirfan Shahrir, 22, yang meninggal dunia akibat kanser synovial sarcoma (ketumbuhan di dalam paru-paru) pada 4 April lalu.
Sijil berkenaan disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kepada Zawiyah bagi pihak Allahyarham, graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal.
Zawiyah berkata, walaupun hasrat melihat anak bongsunya naik ke atas pentas untuk mengambil ijazah tidak kesampaian, namun dia berbangga dengan pencapaian Allahyarham.
“Arwah seorang periang, suka melawak dan pandai berdikari, dia manfaatkan cuti semester dengan kerja sambilan sebagai mekanik di bengkel kereta di Taiping untuk dapatkan pengalaman.
“Apabila dia beritahu dia rasa sakit kepala dan batuk berdarah, kami terkejut sangat kerana dia tak pernah sakit sejak kecil.
“Mac tahun lalu Hirfan jalani pembedahan untuk mengeluarkan peparu kanan, bagaimana pun selepas itu berlaku lagi ketumbuhan dan dia jalani kemoterapi dari Julai hingga November 2023 lalu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bercerita lanjut, pesara guru itu berkata, biar pun bertarung dengan kesakitan, semangat yang ditunjukkan anaknya untuk kembali sihat amat menyentuh hatinya.
“Semasa majlis pesaraan saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Dr Burhanuddin, Taiping pada penghujung Mac lalu, Hirfan dalam keadaan sakit tetap hadir dengan bawa bantal ke pentas untuk raikan saya, dua minggu kemudiannya dia meninggal dunia,” katanya sayu.