Keratan Akhbar: Kolej Komuniti Arau, Wanita UMNO laksana Program Pemerkasaan Wanita Luar Biasa

KOLEJ KOMUNITI ARAU
30 September 2024
Berita RTM

Berita RTM, 29 September 2024

ARAU, 29 September- Pemerkasaan wanita merupakan satu elemen yang amat penting bagi membina masyarakat yang progresif di mana inisiatif tersebut memberikan kesedaran kepada setiap individu untuk memperkasakan diri mereka sendiri dan juga keluarga.

Sehubungan itu, Kolej Komuniti Arau dengan kerjasama Wanita UMNO Bahagian Arau melaksanakan Program Pemerkasaan Wanita Luar Biasa dalam penghasilan produk makanan dan minuman.

Menurut Penyelaras Program, Rozieana Ahmad, usaha tersebut bagi memberikan ruang kepada setiap individu untuk berkembang, mencapai potensi penuh mereka dan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan keluarga, masyarakat, negeri dan negara khususnya dalam bidang keusahawanan.

Melibatkan seramai 150 peserta seluruh Parlimen Arau, program tertumpu kepada tujuh bidang latihan berkaitan penghasilan produk makanan yang mampu meningkatkan pendapatan keluarga sekurang-kurangnya sehingga RM2,000 setiap bulan.

Dalam melaksanakan latihan berkenaan, 30 tenaga pengajar Kolej Komuniti Arau melatih peserta berkaitan penghasilan minuman soya dan taufu fah, bebola ikan dan kek ikan, popia Vietnam, bebola ayam dan jejari ikan, mi kuning serta cincau.

Beliau memaklumkannya pada Program Pemerkasaan Wanita Luar Biasa di Masjid Al-Ikram, Kampung Sena.

Sebanyak 30 peserta dipilih bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri bagi Parlimen Arau untuk menimba ilmu sebagai usahawan berjaya dengan bimbingan Kolej Komuniti Arau.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti