Keratan Akhbar : Pelajar POLISAS sertai program mobiliti antarabangsa di Jakarta

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
01 October 2024
EDISI 9, KERATAN AKHBAR

EDISI 9, 15 September 2024

SERAMAI 12 pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) berpeluang menimba ilmu dan pengalaman menarik menerusi Program Mobiliti Pelajar ke Politeknik Negeri Jakarta (PNJ), Indonesia baru-baru ini.

Program selama sembilan hari bermula 31 Ogos itu diisi dengan pelbagai aktiviti pendidikan meliputi jalinan sosial, eksplorasi budaya, pengalaman bersama industri dan perkongsian ilmu kemahiran.

Program tersebut merupakan kesinambungan program dan aktiviti yang telah dijalankan POLISAS bersama PNJ sebelum ini.

Pada kali ini pelajar kejuruteraan elektrik pula diberi peluang untuk menimba pengalaman dalam program dua hala tersebut dan mengendalikan aktiviti bersama pelajar luar negara.

Program mobiliti itu akan diteruskan lagi dengan kehadiran delegasi PNJ pula ke POLISAS yang dijadualkan pada 2 hingga 12 Oktober ini.

Antara aktiviti yang dijalankan pada program mobiliti ini antaranya sesi perkongsian ilmu, lawatan kebudayaan serta lawatan industri ke PT Yokogawa.

Seorang peserta, M. Roshini, 20, berkata, penyertaannya dalam program tersebut merupakan satu pengalaman berharga yang mana beliau berpeluang belajar mengenai budaya dan sistem pendidikan yang berbeza, serta membina jaringan antarabangsa yang kukuh.

“Pengalaman ini memperkaya pengetahuan akademik saya, meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan keupayaan beradaptasi dengan persekitaran baharu serta memberi keyakinan diri yang lebih untuk berinteraksi di peringkat global,” katanya.

Dia berkata, program tersebut dapat membuka ruang kepada pelajar untuk keluar daripada zon selesa dan mencungkil bakat masing-masing.

“Secara keseluruhan, program ini memperkaya pengalaman pelajar dan mempersiapkan diri untuk berdepan dengan cabaran global,” katanya.

Pada program yang sama, satu majlis menandatangani Surat Hasrat (LoI) telah disempurnakan oleh Pengarah PNJ, Dr. Syamsurizal bersama Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim yang mewakili institusi masing-masing.

Kedua-dua POLISAS dan PNJ bersetuju untuk berkolaborasi melalui perkongsian amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran dan dalam mana-mana bidang lain yang berkaitan.

Selain itu, kedua-dua politeknik itu juga akan menjayakan program pertukaran untuk kakitangan akademik, pakar dan pelajar dalam kursus Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Mereka juga akan mengadakan perkongsian ilmu dan perpindahan teknologi melalui persidangan, simposium, bengkel, pameran, penyelidikan dan inovasi serta program latihan industri bagi staf akademik dan pelajar antara dua negara. – Edisi 9

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti