Punca kemalangan motosikal dalam kalangan belia

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
01 October 2024
RENCANA

Kemalangan jalan raya merupakan suatu perkara yang tidak asing lagi untuk didengari oleh rakyat Malaysia. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia, pihak kementerian menganggarkan sebanyak 1.35 juta pengguna jalan raya mati dalam kemalangan jalan raya setiap tahun dan menyebabkan kerugian ekonomi yang besar akibat daripada kerosakan lalu lintas yang berpunca daripada kemalangan tersebut. Berdasarkan carta kematian jalan raya mengikut jenis kenderaan pada tahun 2010 hingga 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia, motosikal mendominasi carta kematian jalan raya dengan peratusan sebanyak 59% dan majoriti penyumbang kepada kemalangan motosikal adalah golongan yang berumur di antara 15 hingga 30 tahun. Hal ini juga berlaku kerana motosikal merupakan jenis pengangkutan yang kedua popular di Malaysia oleh kerana keupayaan motosikal yang membolehkan penggunanya mempunyai mobiliti yang tinggi untuk bergerak dalam lalu lintas yang sesak. Oleh itu, pengguna motosikal di Malaysia mempunyai kebarangkalian untuk mengalami kemalangan jalan raya yang sangat tinggi.

Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa belia dianggap sebagai tempoh peralihan dari kanak-kanak ke dewasa dan boleh juga dirujuk apabila seseorang itu menghabiskan tempoh pendidikan mereka di sekolah dan mencari pekerjaan pertama mereka. Untuk pendekatan yang lebih mudah, PBB telah mengklasifikasikan belia berdasarkan umur mereka dan telah menetapkan umur bagi golongan belia adalah mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun. Meskipun begitu, definisi belia adalah berbeza mengikut negara dan Malaysia juga mempunyai definisi yang berbeza mengenai definisi belia. Di Malaysia, terdapat pindaan (Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia Akta 688) yang menyatakan bahawa belia adalah mereka yang berumur dalam lingkungan 15 hingga 30 tahun. Belia yang berumur 18 hingga 25 tahun dianggap sebagai populasi berisiko tinggi kerana kekurangan pengalaman dengan kemahiran memandu. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) melaporkan bahawa lebih separuh daripada penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan jalan raya maut adalah di bawah umur 29 tahun. Hasil penyelidikan ini membuatkan penunggang motosikal remaja telah menjadi isu keselamatan di Malaysia. Sekiranya berlaku kemalangan jalan raya, motosikal akan lebih terdedah kepada kecederaan maut berbanding cara pengangkutan lain oleh kerana sifat motosikal yang mempunyai perlindungan yang ekstensif untuk melindungi penunggangnya.

Seterusnya, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyatakan bahawa berdasarkan kajian yang dilakukan pada tahun 2011, punca utama kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh tingkah laku manusia atau kelalaian. Perilaku berisiko seperti kelajuan, mengejar belakang, mengejar lampu merah dan gangguan pemanduan. Perilaku berisiko ini sangat berbahaya kerana kebarangkalian untuk kemalangan berlaku menjadi lebih tinggi jika sesuatu yang tidak diingini berlaku semasa melakukan pemanduaan kenderaan. Selain itu, tingkah laku memandu berisiko juga akan membahayakan pengguna jalan lain dan boleh menyebabkan mereka secara tidak sengaja mengalami keadaan berbahaya. Ia juga penting untuk dicatat bahawa pelanggaran lampu merah dalam kalangan motosikal adalah tinggi berbanding dengan mod pengangkutan lain yang menimbulkan risiko yang lebih besar untuk kemalangan.

Pelanggaran lampu merah melalui persimpangan adalah lebih kerap apabila reka bentuk persimpangan adalah persimpangan tiga berbanding persimpangan empat. Berdasarkan kajian, daripada 19,232 motosikal yang diperhati di persimpangan yang disenaraikan, 26.2% daripada mereka akan lebih suka melakukan pelanggaran lampu merah daripada berhenti di persempadanan yang ditandakan.

Dalam pada itu, punca lain kemalangan jalan raya motosikal adalah disebabkan oleh infrastruktur jalan dan kawasan sekitar. Di Malaysia, penyediaan laluan motosikal khusus sangat rendah berbanding dengan keseluruhan rangkaian jalan yang sedia ada. Oleh yang demikian, alternatif yang ada untuk penunggang motosikal terpaksa melalui jalan yang sama dengan kenderaan lain di mana perkara ini memberi ancaman yang lebih besar kepada pengguna motosikal kerana ia akan meningkatkan kebarangkalian menghadapi kemalangan. Menunggang  pada waktu malam di mana tidak terdapat banyak sumber cahaya kecuali daripada lampu jalan dan cahaya kenderaan akan meningkatkan peluang kemalangan. Penunggang tidak dapat untuk meramalkan apa-apa bahaya yang berpotensi dari persekitaran sekeliling dan menghalang sebarang penyesuaian yang diperlukan untuk menjauhkan diri daripada bahaya.

Sementara itu, Jadual 1 menunjukkan satu kajian oleh penulis berkenaan data  kemalangan trafik yang melibatkan penunggang motosikal  (370 kemalangan) yang melibatkan belia di Bangi, Selangor dari Januari 2021 hingga Mac 2024. Data kemalangan trafik tersebut adalah data yang dijana oleh pihak PDRM yang dipanggil ‘POL27’ iaitu borang yang digunakan untuk merekodkan kemalangan jalan raya yang berlaku di seluruh Malaysia. Hasil analisis mendapati bahawa mangsa kemalangan motosikal melibatkan belia terdiri daripada kumpulan belia yang berumur diantara 15 hingga 25 tahun dengan purata umur adalah 22 tahun. Bilangan mangsa yang tertinggi berada pada kumpulan umur 21 hingga 25 tahun dengan bilangan seramai 195 (52.7%) orang mangsa yang menunjukkan bahawa kumpulan umur yang kerap mengalami kemalangan adalah golongan yang sudah tamat persekolahan. Seterusnya, bilangan mangsa yang terendah adalah golongan umur yang melebihi 26 tahun dengan bilangan seramai 3 (0.8%) orang mangsa.

Jadual 1 : Bilangan dan peratusan mangsa kemalangan motosikal melibatkan belia di Bangi, Januari 2021 – Mac 2024

Kumpulan umur (Tahun)Jumlah Mangsa (n)Peratusan (%)
<15164.3
15 – 2015642.2
21 – 2519552.7
>2630.8

Manakala, hasil analisis kajian penulis pada Jadual 2 mendapati bahawa majoriti mangsa yang terlibat dalam kemalangan motosikal akan mengalami kecederaan ringan iaitu sebanyak 230 orang (62.2%) manakala seramai 112 orang (30.3%) merekodkan kematian dan 26 mangsa (7%) mengalami kecederaan parah. Kategori yang merekodkan jumlah mangsa yang paling rendah adalah tidak cedera dengan nilai seramai 26 orang (7 %). Hal ini menunjukkan bahawa apabila penunggang motosikal belia mengalami kemalangan, kebarangkalian untuk mengalami kecederaan ringan adalah tinggi berbanding jenis kecederaan yang lain.

Jadual 2 : Bilangan dan peratusan jenis kecederaan mangsa yang terlibat dalam kemalangan oleh penunggang belia di Bangi, Januari 2021 – Mac 2024

Kumpulan umur (Tahun)Jumlah Mangsa (n)Peratusan (%)
Maut11230.3
Cedera parah267.0
Cedera ringan23062.2

Menurut Kementerian Pengangkutan Malaysia, kadar kematian pengguna motosikal adalah yang tertinggi dalam kalangan kemalangan jalan raya lain yang melibatkan jenis kenderaan lain. Melalui nilai kehidupan statistik (VSOL) yang dibuat pada tahun 2018, dianggarkan bahawa kerajaan Malaysia telah kehilangan sekurang-kurangnya RM3.12 juta bagi setiap nyawa yang hilang di jalan raya. Hasil ini menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya tidak hanya menjejaskan mangsa tetapi juga negara. Keadaan ini kerana, negara akan bertanggungjawab apabila berlaku sesuatu kemalangan lalu lintas berlaku terutamanya apabila melibatkan kemalangan daripada kalangan belia. Ini kerana kalangan belia adalah merupakan pewaris yang akan mewarisi dan mencorak masa depan negara.

Penulis :

Mohd Shahrol Omar

Jabatan Kejuruteraan Awam

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor

Dr. Ahmad Yusri Mohamad

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam

Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang

Ts. Ir. Dr. Muhamad Razuhanafi Mat Yazid

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti