Lebih 500 peserta sertai MPIOC 2024

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
06 October 2024
BERITA, Sukan

KUANTAN, 6 Oktober 2024 – Seramai 524 peserta dari Malaysia dan negara luar iaitu Indonesia, Jepun, Singapura, Perancis, Chinese Taipei dan SAR Hong Kong menyertai Malaysian POLYCC International Orienteering Championship (MPIOC 2024) | World Ranking Event | The 4th Series Asean League bagi dua kategori utama dipertandingkan serta kategori pelajar sekolah.

Seramai 288 peserta direkodkan bagi kategori utama World Ranking Event (WRE) dan National Ranking Event (NRE) manakala baki 236 lagi merupakan peserta bagi kategori pelajar sekolah menengah dan rendah.

MPIOC 2024 merupakan anjuran Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama daripada Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Persatuan Sukan Orienteering Malaysia (PESOM) dan Persatuan Sukan Orienteering Pahang (POSAS), yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, bertempat di POLISAS.

Kejohanan ini turut mendapat sanksi daripada Persekutuan Orienteering Antarabangsa (IOF) dan PESOM  serta mendapat kelulusan daripada Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Pahang (MSP), Zamri Hassan. Hadir sama adalah Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim.

Pengarah MSP, Zamri Hassan dalam ucapannya berkata, penganjuran kejohanan seperti ini secara asasnya, menggambarkan betapa sektor pendidikan tinggi negara mempunyai kepelbagaian terutama dalam membina ketrampilan mahasiswa yang komprehensif dan berdaya saing secara sihat dan positif melalui aspek sukan.

“ Ia menunjukkan dengan sangat jelas bahawa selain menumpukan kepada kecemerlangan akademik, sumbangan kepada masyarakat, hubungan yang erat dengan industri, sektor pendidikan tinggi juga turut memberi penekanan yang sangat besar kepada usaha menggilap potensi dan bakat pelajar khususnya dalam arena sukan baik diperingkat Institut Pendidikan Tinggi, kebangsaan mahupun di pentas dunia”, katanya.

Tambah beliau lagi, pihak Kerajaan Negeri Pahang juga amat menggalakkan penyertaan sukan dalam kalangan belia dengan mengadakan Program Pembangunan Sukan Negeri dan menyediakan beberapa kemudahan sukan di bawah jagaan dan pemantauan MSP.

Sementara itu, Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim berkata, penganjuran MPIOC 2024 pada tahun ini merupakan penganjuran kali keempat selepas penganjuran kali pertama pada tahun 2018, kedua pada tahun 2019 dan ketiga pada tahun 2023.

Tambah beliau, penganjuran program ini merupakan salah satu usaha untuk mempromosikan, mengharumkan dan mengangkat nama Politeknik dan Kolej Komuniti dalam bidang sukan orienteering.

“Ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan negara Malaysia khususnya sebagai salah sebuah lokasi orienteering di peringkat antarabangsa”, ujarnya.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti