Oleh Wartawan Sinchew Daily : Lim Hai Xia
KAJANG, 13 Oktober 2024 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Wira Johan berkata, terdapat sebanyak 105 buah kolej komuniti di seluruh Malaysia dengan 11 darinya terletak di Selangor dan setiap kolej komuniti mempunyai kepakaran atau niche area dalam bidang TVET masing-masing.
Beliau berkata, contohnya Kolej Komuniti Hulu Langat mempunyai kepakaran dalam bidang Penyejukan & Penyamanan Udara bagi peringkat Sijil; manakala Kolej Komuniti Ampang menjadikan bidang Teknologi Komunikasi sebagai bidang kepakarannya di peringkat Diploma.
Kolej komuniti menawarkan program sepenuh masa peringkat sijil dalam bidang Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) serta menawarkan pelbagai kursus dalam program pembelajaran sepanjang hayat bagi segenap lapisan masyarakat. Sehubungan itu rakyat wajar memanfaatkan peluang yang ada untuk kemajuan diri.
”Harapan saya agar semua masyarakat menjadikan kolej komuniti sebagai institusi pendidikan TVET yang mampu membantu meningkatkan sosio-ekonomi melalui penglibatan dalam kursus yang ditawarkan dengan bayaran yang murah dan munasabah serta tenaga pengajar yang berkelayakan dan berkemahiran.”
Datuk Wira Johan menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Karnival Variasi Pembelajaran Sepanjang Hayat Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan di Stadium Kajang semalam dan berkata program ini dianjurkan oleh Kolej Komuniti Hulu Langat dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang serta Kolej Komuniti Zon Selangor.
Menurut Pengarah Kolej Komuniti Hulu Langat, Roszita binti Shamsuddin, sehingga 30 September 2024 bilangan peserta kursus PSH bagi Kolej Komuniti Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan adalah seramai 26,099 peserta dengan bilangan kursus sebanyak 1407 yang telah dilaksanakan. Angka ini akan meningkat menjelang hujung tahun kerana masih terdapat permintaan yang tinggi kepada pelaksanaan kursus PSH ini.
Roszita menzahirkan ucapan tahniah kepada dua (2) Kolej Komuniti di Selangor di atas pencapaian Peserta PSH tertinggi di mana kedudukannya adalah antara 10 Kolej Komuniti Malaysia tertinggi yang mencatatkan pencapaian melebihi 5000 peserta iaitu Kolej Komuniti Hulu Langat seramai 5252 peserta dan Kolej Komuniti Kuala Langat seramai 5193 peserta.
Sebanyak 18 kursus PSH dilaksanakan, 9 jenis permainan dan sukan serta 7 booth pameran disediakan untuk pengunjung di karnival ini. Antara kursus yang disediakan adalah Fun Learning Mandarin, Ukiran Buah-buahan, Pembuatan Roti Arab dan banyak lagi.
Karnival ini diadakan untuk memperkenalkan kolej komuniti khususnya di negeri Selangor secara meluas dalam semua peringkat lapisan masyarakat melalui pelbagai kursus yang bersesuaian mengikut keperluan dan minat masing-masing.