Semporna, 12 November 2024 – Kolej Komuniti Semporna (KKSSP) telah menganjurkan Program Kebolehpasaran Emergency First Respornder (EFR) bertempat di Bilik Kuliah KKSSP pada 9 hingga 10 November 2024.
Kursus yang dianjurkan oleh Unit Kolaborasi Industri Dan Alumni (PPIA) KKSSP disertai seramai 20 pelajar Kursus Sijil Pelancongan Pengembaraan dan telah dikendalikan oleh dua orang tenaga pengajar industri yang diiktiraf iaitu; Sujimin Edris dan Malik Faizal Yacob yang bertugas di Borneo Speedy Dive, Semporna.
Pengarah KKSSP, Siaroliza Alih, dalam ucapan perasmiannya berkata semua pelajar yang memiliki e-kad Pertolongan Cemas diiktiraf oleh Professional Associations of Diving Instructors (PADI) dapat membantu meningkatkan kemahiran pertolongan cemas dalam kehidupan seharian seterusnya dapat menyelamatkan nyawa dalam sebarang situasi kecemasan.
Sepanjang dua hari program berlangsung, semua pelajar telah diberikan pendedahan ilmu dan teknik yang betul dalam amalan pertolongan cemas. Ini termasuklah, cara rawatan pembebat pembalut, luka pendarahan, benda-benda asing, luka terbakar, tulang patah terseliuh, teknik Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), serta asas penggunaan defibrilator luaran dan kecemasan (AED).
Di akhir program semua pelajar akan menjalani satu ujian secara bertulis dan praktikal bagi melayakkan pelajar mendapatkan lesen e-kad EFR sebagai perawat yang diiktiraf oleh PADI.
Semua pelajar rata-rata menyatakan rasa beruntung dan bersyukur kerana telah diberikan peluang untuk mendapatkan e-kad EFR sebagai nilai tambah kepada mereka dalam berhadapan sebarang situasi yang penuh dengan cabaran pada masa kini. Pelajar juga berharap KKSSP akan menganjurkan lebih banyak lagi kursus-kursus atau program berkaitan dengan upskilling dan reskilling kemahiran pada masa hadapan.