51 pelajar dari 25 POLYCC negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan dalami ilmu media sosial

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
29 November 2024
Aktiviti Pelajar, BERITA

KUANTAN, 29 Oktober 2024 – Seramai 51 pelajar dari 25 buah Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Pahang dan Zon Terengganu/Kelantan menimba ilmu khususnya dalam penciptaan kandungan digital bagi media sosial menerusi Program Rakan Promosi POLYCC 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Program yang berlangsung di BCIC Lodge, Indera Mahkota ini merupakan anjuran Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat (UKK), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan dikendalikan oleh Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS).

Program ini diadakan untuk menggilap potensi pelajar dalam penggunaan media sosial, proses penyuntingan video dan membina kandungan khususnya di aplikasi TikTok dalam usaha memperkasakan lagi POLYCC dan menyebarluas informasi bagi aktiviti pengambilan dan kemasukan pelajar terutamanya di kawasan Pantai Timur.

Barisan tenaga pengajar program ini terdiri daripada para pensyarah yang berpengalaman dan mahir khususnya dalam penciptaan kandungan digital iaitu Pensyarah Kolej Komuniti Kuantan, Shahrizal M.Yasin dan Syaizura Hani Abd. Samat serta Pensyarah Kolej Komuniti Paya Besar, Nur Shuhadah Mahadi.

Majlis perasmian penutup program disempurnakan oleh Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim, yang juga merupakan Pengerusi POLYCC Zon Pahang.

Hisamudin dalam ucapannya berkata, para peserta program dapat mengaplikasikan ilmu-ilmu yang diperolehi untuk menjadi duta kepada institusi masing-masing khususnya dalam membantu mempromosikan, memperkasakan dan menyebarluas segala maklumat mengenai POLYCC, TVET dan sebagainya.

“ Bukan setakat itu sahaja, para peserta juga berperanan untuk melatih atau menggilap potensi serta mengajak rakan-rakan sebaya untuk berganding bahu dalam usaha memperhebat aktiviti promosi institusi khususnya di platform TikTok yang sememangnya amat sinonim dengan jiwa anak-anak muda zaman kini ”, ujarnya.

Hadir sama pada majlis perasmian penutup program adalah Ketua Komunikasi Korporat, JPPKK, Abdul Hadi Mustaffa.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti