suara.tv, 17 November 2024
JITRA – Program Jiwa Murni oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membolehkan pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) mendapatkan pemeriksaan pergigian (DENCAP) secara percuma, selain pendedahan kerjaya sebagai pegawai tentera.
Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman berkata demikian ketika berucap dalam program Promosi Kesihatan Pergigian di Dewan Kuliah 1, POLIMAS dekat sini, baru-baru ini.
Dr. Mhd Azmin berkata, julung-julung kali program seperti ini dianjurkan dapat menanamkan perasaan patriot terhadap negara kepada para pelajar.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada ATM kerana sentiasa memberikan latihan dan ilmu baru pada pelatih Askar Wataniah (AW) di POLIMAS, ”katanya.
Turut hadir, Pegawai Pemerintah 614 Pusat Pergigian Angkatan Tentera Sungai Petani, Leftenan Kolonel (Dr) Naili Hayati Abdul Mukti; Pegawai Pemerintah 622 Pusat Pergigian Angkatan Tentera Alor Setar, Leftenan Kolonel (Dr) Siti Haurul Ain Sheikh Aladin; Pegawai Perubatan 807 Rumah Sakit Angkatan Tentera Sungai Petani,
Mejar (Dr) Asiah Abdul Halim; Ketua Kompeni Alpha POLIMAS, Mejar Md Nasir Md Safar; Pegawai Pergigian 614 Pusat Pergigian Kem Lapangan Terbang Sungai Petani; Ketua Jabatan Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar POLIMAS, Muhammad Nasir Zain, dan Pegawai Pergigian 614 Pusat Pergigian Kem Sungai Petani, Kapten (Dr) Noor Shumaisarah Shudin.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pergigian 2 Divisyen, Kolonel (Dr) Nik Seridaiyana Nik Omar Al Haded berkata, walaupun negara sudah aman program khidmat masyarakat masih memberikan manfaat kepada rakyat.
Dr. Nik Seridaiyan berkata, Program Jiwa Murni, bukan saja mampu membentuk jalinan kerjasama dengan orang awam, tetapi juga memberi peluang kepada ATM memberi sumbangan khidmat bakti kepada masyarakat
“Malah, ia juga menjadi ruang terbaik untuk ATM mempromosikan peluang kerjaya yang disediakan kepada belia yang bersemangat dan menaruh minat menyertai pasukan keselamatan untuk menyumbang bakti mempertahankan kedaulatan negara, ”katanya.
“Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan pergigian di kalangan pelajar dan pengajar.
“Selain itu, pihak ATM merancang untuk memberi penekanan tentang kesedaran mengenai kepentingan rawatan Ortodontik seperti bahaya memakai fake braces di kalangan pelajar oleh Pakar Pergigian Ortodontik, ”katanya lagi.
Pegawai Perhubungan Awam POLIMAS Shahril Annuar Ahmad berkata, program DENCAP dengan kerjasama Pusat Pergigian Angkatan Tentera diadakan secara percuma bagi memupuk kesedaran penjagaan kesihatan pergigian di kalangan pelajar.
“Taklimat berkaitan AW turut disampaikan oleh Pegawai Tadbir Batalion 1, Kapten Sharifah Jaafar kepada 253 pelajar semester 1 POLIMAS yang terlibat dengan unit berunifom kokurikulum iaitu AW, Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA), Briged Rela Siswa Siswi (RelaSIS), dan Pengakap, ”tambahnya.
Sementelah itu, Megat Bazli Syah Baddrul Hisyam, berkata, program ini amat bermakna kepadanya dan mendapat banyak pengetahuan tentang penjagaan gigi melalui ceramah yang telah disampaikan.
“Disamping itu, saya mendapat gambaran jelas mengenai kerjaya dan keistimewaan yang tersedia sebagai anggota tentera, ”katanya yang juga anggota AW POLIMAS.
Bagi anggota Briged RelaSIS, Fatin Syahirah Mohamad Sarudin berkata, program seperti ini diharap akan diadakan lagi pada tahun hadapan. – SUARA.TV