Anak kelahiran Kuala Pilah dinobat Tokoh TVET POLIMAS

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
18 December 2024
BERITA, SUARA TV

Jendelamadani.net, 16 November 2024

Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) Jitra, Kedah Kedah telah dinobatkan sebagai Tokoh TVET POLIMAS sempena Hari Akademia POLIMAS Tahun 2024.

Muhammad Shaiful Azmi Abdul Rahman, 47, Pensyarah Kanan, POLIMAS merupakan anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Muhammad Shaiful Azmi berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Bandar & Komuniti Lestari dari Universiti Sains Malaysia (USM), Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar & Wilayah (Kelas Pertama) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Diploma Perancangan Bandar & Wilayah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Sijil Perancangan Bandar & Wilayah juga dari UiTM.

Beliau memulakan kerjaya awal sebagai Penolong Teknikal di firma perancangan bandar diKuala Lumpur mulai 1999 hingga tahun 2000 dan kemudiannya bertukar ke firma kedua di Negeri Sembilan sehingga tahun 2002 dengan jawatan sama.

SEBAGAI PENJAWAT AWAM
 
Seterusnya beliau memulakan karier sebagai penjawat awam di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Kuala Lumpur dengan menjawat jawatan Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa pada 14 Mac 2002 dan kemudiannya ditempatkan di Majlis Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2002.

Hasil dari kecemerlangannya dalam tugasan, beliau telah dinaikkan pangkat di organisasi yang sama pada 1 Oktober 2010 sebagai Ketua Bahagian Perancangan dan Landskap.
 
Pada 1 Oktober 2012 beliau menerima perlantikan sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa dan ditempatkan di Pejabat Projek Zon Tengah, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Kuala Lumpur.

Tetapi disebabkan kecintaan ingin menjadi tenaga pengajar beliau telah menukar kariernya dari seorang Pegawai Perancang Bandar dan Desa kepada Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi pada 1 November 2012 dan ditempatkan sebagai POLIMAS sehingga kini.
 
Sebagai pensyarah yang bukan sahaja tugasnya sebagai tenaga pengajar, beliau juga telah banyak melibatkan diri dengan aktiviti penyelidikan, inovasi dan kolaborasi.

MERANGKUL PELBAGAI PENGIKTIRAFAN

Sepanjang menjadi pensyarah, beliau telah merangkul pelbagai pengiktirafan dengan mengondol sebanyak enam pingat emas, dua pingat perak, tiga pingat gangsa, empat projek terbaik selain pernah menjadi penerima anugerah penyelidikan terbaik dan pembentangan terbaik dalam pertandingan inovasi serta penyelidikan dalam bidang teknikal di peringkat antarabangsa mahupun kebangsaan.

Dengan kepakaran dalam bidang perancangan bandar, rekabentuk bangunan dan senibina landskap telah menjadikan beliau secara konsisten membantu dalam mencapai sasaran KPI bagi Centre of Town and Regional Planning (CToP) POLIMAS sejak tahun 2013.

Bukan sahaja berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, beliau juga sangat aktif dalam aktiviti seni budaya sehingga dilantik sebagai Pegawai Kebudayaan POLIMAS.

Hasil usaha beliau dalam merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti seni kreatif, maka terlahirnya ramai bakat muda di kalangan pelajar yang mampu membuat persembahan seni pentas yang besar sehingga menerima pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan.

Shaiful Azmi ketika ditemui melahirkan rasa syukur kepada Allah dan tidak menyangka langsung diri saya dipilih sebagai penerima anugerah utama dalam Hari Akademia POLIMAS tahun ini.

MENYOKONG SEGALA USAHA

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada keluarga yang sentiasa menyokong segala usaha dan barisan pengurusan atasan POLIMAS yang memberi kepercayaan kepada saya dalam melaksanakan pelbagai tugasan sehingga mengiktiraf sumbangan tersebut dalam bentuk penganugerahan ini,” katanya.

Selain itu, katanya rakan sekeliling dalam POLIMAS juga banyak membantu, menyokong dan membimbing sepanjang perjalanan sebagai tenaga pengajar di POLIMAS.
 
Pengarah POLIMAS, Rosli Idris dalam ucapannya ketika merasmikan Hari Akademia POLIMAS 2024 berkata, Hari Akademia ini diadakan bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada ahli akademik dan warga POLIMAS secara umumnya kepada pensyarah yang berjaya menonjolkan kecemerlangan diri sepanjang setahun yang lalu.

Menurut beliau lagi, program hari ini juga digabungkan dengan Perhimpunan Bulanan untuk menghargai mereka yang telah memberikan komitmen yang sangat tinggi dalam menjayakan pelbagai aktiviti dan program di dalam atau luar POLIMAS.
     
Pihak pengurusan POLIMAS turut memberikan penghargaan kepada 12 anugerah istimewa sempena Hari Akademia POLIMAS.

Anugerah Pembelajaran dan Pengajaran kepada Noor Amani Salleh dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Anugerah Pensyarah Cemerlang, Mohd Zulfahmi Mohd Zawawi dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Anugerah Pensyarah Harapan, Dr Siti Muyassarah Abd Nasir (Jabatan Perdagangan),

ANUGERAH MENTOR KEUSAHAWANAN

Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat, Mazuin Stapah@Salleh (Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi), Anugerah Mentor Keusahawanan telah dianugerahkan kepada Nurbaya Ghazali juga dari jabatan yang sama, Anugerah Ikon Sukarelawan, Saiful Nizam Sa’ari,(Jabatan Kejuruteraan Elektrik), Anugerah Ikon Kokurikulum, Md Nasir Md Safar (Jabatan Kejuruteraan Awam),

Anugerah Penyelidikan dan Inovasi, Siti Noor Zilawati Mingat@Minhad (Jabatan Kejuruteraan Awam), Anugerah Penerbitan, Dr Dzulkarnain Musa, Anugerah Ikon Kolaborasi, Wan Nor Harman Wan Yahya dan Anugerah Sokongan Akademik diberikan kepada Norainiah Abd Rahman.
 
Semua anugerah tersebut telah disampaikan oleh Rosli Idris dan Timbalan Pengarah Akademik, Dr Mhd Azmin Mat Seman.

Hadir sama Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Hamizi Yahya serta Ahli Mesyuarat Pengurusan POLIMAS.  – JM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti