Bank Islam sumbang wang zakat kepada pelajar POLIMAS

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
18 December 2024
BERITA

Jendelamadani.net, 19 November 2024

Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) memilih Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra untuk diagihkan wang zakat kepada pelajar yang tidak berkemampuan.

Majlis penyerahan sumbangan wang zakat ini telah disempurnakan oleh Pengurus Deposit Korporat BIMB, Saidin Ismail kepada Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr Mhd Azmin Mat Seman.

Pada majlis ini, BIMB telah menyampaikan sebahagian wang zakat mereka bagi tahun 2023 berjumlah RM10,000 kepada POLIMAS.

Sumbangan secara berterusan ini hanya kepada institusi pengajian tinggi (IPT) terpilih dan POLIMAS telah menerima wang zakat dari BIMB pada tahun lalu.

OLEH PIHAK KORPORAT

Pemberian sumbangan wang zakat seperti ini oleh pihak korporat mahupun individu amat digalakkan dan dihargai oleh Pengurusan POLIMAS.

Melalui pemberian seperti ini, ia dapat meringankan bebanan kewangan pelajar yang tidak berkemampuan terutamanya untuk menjelaskan yuran pengajian mereka.

Menurut Dr Mhd Azmin, POLIMAS telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menilai para penerima zakat yang layak dan satu garis panduan penilaian penerima zakat telah disediakan.

Pemberian zakat ini diberikan kepada asnaf yang layak meliputi tiga golongan sahaja iaitu fakir, miskin dan fisabilillah.

PENERIMA YANG LAYAK

“Mekanisme penentuan penerima yang layak dibuat secara telus dan terperinci berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan dalam garis panduan ini yang dibangunkan hasil rujukan kepada garis panduan agihan zakat oleh institusi zakat,” katanya lagi.

Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat kepada pelajar yang layak telah diadakan oleh POLIMAS setiap tahun.

Pada tahun lalu, setiap seorang pelajar dalam golongan fakir menerima RM200.00, golongan miskin sebanyak RM200.00 dan golongan fisabilillah pula RM200.00.

Bantuan zakat juga diberi kepada pelajar yang ditimpa musibah dan bencana alam.

POLIMAS juga turut memberi dermasiswa kepada pelajar miskin yang cemerlang.

BERGANTUNG KEPADA SUMBANGAN

Jumlah wang zakat ini adalah bergantung kepada sumbangan zakat yang diterima POLIMAS dan bilangan permohonan yang layak pada tahun berkenaan.

Sementara itu Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Muhamad Nasir Zain berkata, melalui iklan permohonan wang zakat yang diuruskan oleh Jawatankuasa Zakat POLIMAS sepanjang sesi pengajian tahun 2024 ini pihaknya mendapati jumlah permohonan bertambah dari tahun sebelumnya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya berharap akan mendapat lagi sumbangan wang zakat daripada Agensi dan Badan-badan Korporat.

Beliau berkata, ini kerana secara purata antara 600 hingga 700 pelajar memerlukan bantuan kewangan pada setiap tahun. – JM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti