7 Januari 2025, Kampung Makmur, Sungai Galah, Perak – Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) telah memperkenalkan inovasi terkini dalam bidang akuakultur iaitu ternakan ikan air tawar dalam kanvas. Inisiatif ini dilaksanakan di Kampung Makmur, Sungai Galah, Perak, bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti setempat dengan memanfaatkan teknologi moden yang lebih kos efektif dan mesra alam.
Perasmian projek ternakan ikan air tawar dalam kanvas ini telah disempurnakan oleh En. Mazlan Zurin bin Zulkifli, Timbalan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Negeri Perak, pada pagi tadi. Dalam ucapan beliau, En. Mazlan menyatakan rasa bangga atas penggunaan dana yang disalurkan melalui Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), yang berjumlah RM100,000, bagi menjayakan projek ini. Beliau turut berharap projek ini dapat menjadi contoh kepada komuniti lain dalam pengurusan sumber dan dana secara berkesan dan bertanggungjawab agar melalui keuntungan atau pun hasil dapat dipulangkan kembali kepada komuniti setempat.
Projek ternakan ikan dalam kanvas ini dilihat sebagai penyelesaian yang lebih praktikal dan ekonomikal berbanding dengan kaedah tradisional seperti kolam tanah atau tangki plastik. Kaedah ini bukan sahaja mudah dipasang, tetapi juga mempunyai kos penyelenggaraan yang lebih rendah, menjadikannya pilihan yang ideal untuk pengusaha akuakultur, terutama di kawasan luar bandar.
Menurut Mohammad Fauzi Ahmad Shaharuddin, Pengerusi JPKK Kampung Makmur, idea untuk menjalankan ternakan ikan air tawar dalam kanvas telah dipertimbangkan sejak sekian lama. Beliau menjelaskan bahawa kaedah ini adalah alternatif yang sangat baik kerana ia dapat mengurangkan risiko dan kos, serta memberi keuntungan jangka panjang. Dengan permintaan ikan air tawar yang sentiasa tinggi di pasaran, projek ini diyakini dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada komuniti setempat.
Projek ini dimulakan pada Ogos 2024 dan mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak, termasuk Pejabat Perikanan Daerah Perak Tengah yang menyediakan benih ikan keli pada 18 Oktober 2024. Pelaksanaan yang sistematik dan teratur telah membolehkan projek ini mencapai kejayaan pada setiap peringkat.
Penglibatan Kolej Komuniti Pasir Salak, Kementerian Pendidikan Tinggi pada peringkat awal melalui dorongan dan sokongan serta tunjuk ajar dalam pelbagai kaedah melalui perkongsian ilmu dan pengalaman yang diberikan secara langsung pada peringkat awal dalam membantu melalui proses pendaftaran serta penyediaan kertas kerja sehinggalah projek ini diluluskan pada 14 Ogos 2024 amat memberi impak yang besar kepada projek ini.
Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh beberapa pemimpin tempatan, termasuk Encik Megat Mohd Zamri bin Megat Mohd, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, serta Tuan Haji Khairul Azwan bin Dato’ Harun, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak. Pelbagai pengisian telah diadakan antaranya ialah pelepasan ikan keli ke dalam kanvas sebagai simbolik kepada permulaan projek ini, dan juga penyerahan cek simbolik bernilai RM100,000 kepada Pengerusi JPKK Kampung Makmur.
Puan Wan Marina binti Wan Mohd Nowalid, Timbalan Pengarah, Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti, serta Encik Mohd Shahrir bin Ahmad Zaini, Pengarah Kolej Komuniti Pasir Salak, juga hadir untuk menyaksikan kejayaan projek ini.
Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) adalah salah satu inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk memperkukuhkan ekonomi komuniti luar bandar, sekaligus meningkatkan kualiti hidup rakyat. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, projek ternakan ikan air tawar dalam kanvas ini dijangka dapat memberi manfaat yang besar kepada penduduk Kampung Makmur dan komuniti sekitarnya dalam jangka panjang.