
5 Februari 2024, Shah Alam – Seramai 97.39 peratus daripada 3,480 pelajar
mengundi pada Pilihan Raya Kampus (PRK) 2025 Politeknik Sultan Salahuddin Abdul
Aziz Shah (PSA) sekali gus merupakan peratus keluar mengundi tertinggi
pernah direkodkan.
Kesemua mereka membuang undi bermula pukul 8.00 pagi hingga 4.00 petang menerusi
sistem e-Voting yang dibangunkan sendiri oleh PSA.
Timbalan Pengarah Akademik Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman berkata, pelaksanaan secara
e-voting dipilih untuk memastikan proses undian dan penerimaan keputusan dijalankan
dengan cekap dan pantas.
“Sistem ini juga memberikan kemudahan kepada pelajar-pelajar serta pelajar semester
enam yang kini sedang menjalani latihan industri untuk turut serta menunaikan
tanggungjawab mereka sebagai pengundi.”
Dalam PRK kali ini, Jabatan Kejuruteraan Elektrik mencatatkan peratus mengundi
tertinggi iaitu 98.98% diikuti Jabatan Perdagangan (97.81%), Jabatan Kejuruteraan
Awam (97.71%) dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (93.88%).
Menurut Ts. Dr. Ahmad Aftas lagi, kejayaan semua jabatan memperoleh lebih 90 peratus
mengundi membuktikan kesedaran yang mendalam terhadap kepentingan proses
demokrasi dalam memilih wakil pelajar yang akan membawa suara mereka kepada pihak
pengurusan politeknik.
“Pilihan raya kampus kita bukan sekadar memilih wakil pelajar, tetapi lebih daripada itu
ia merupakan platform mendidik dan memberi pendedahan kepada mahasiswa dan
mahasiswi mengenai sistem demokrasi yang ada di Malaysia.”
Keputusan PRK 2025 diumumkan oleh pengarah PSA Zainah Rujihan di Dewan Aljazari
PSA.
“Syabas dan tahniah kepada semua. Semua calon yang menang berdasarkan undian
akan diberi tanggungjawap dan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh
tanggungjawab, dedikasi dan semangat yang tinggi demi kesejahteraan warga PSA
khususnya para pelajar.”
PRK kali ini menyaksikan seramai 34 calon bertanding bagi merebut 22 kerusi umum dan
4 kerusi jabatan.