
ALOR SETAR, 12 Februari 2025 – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) terus memacu inisiatif hijau melalui kerjasama strategik dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah. Kunjungan hormat Unit Pengurusan Teknologi Hijau (UPTH) PTSB ke JAS Kedah hari ini memperlihatkan komitmen institusi dalam memperkukuhkan amalan kelestarian kampus dan menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar.
Kunjungan diketuai oleh Pengarah PTSB, Haji Mohd Ruzi bin Hamzah, disambut oleh Timbalan Pengarah JAS Kedah, Encik Mohd Fitri bin Mohd Mokhtar. Perbincangan tertumpu kepada pelaksanaan program lestari termasuk penglibatan PTSB sebagai tuan rumah bersama bagi Majlis Sambutan Hari Bumi Peringkat Negeri Kedah pada April nanti.
Menurut Haji Mohd Ruzi, usaha ini bukan sahaja memanfaatkan komuniti PTSB tetapi juga membuka peluang kerjasama lebih erat antara pihak industri, badan kerajaan dan institusi pendidikan. Sementara itu, JAS Kedah turut menzahirkan kesediaan untuk menyokong usaha yang dapat meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
Melalui sinergi ini, PTSB optimis dapat memainkan peranan lebih besar dalam membudayakan amalan hijau sekali gus mewujudkan impak positif dalam usaha menjadikan PTSB sebagai peneraju Kampus Lestari Politeknik Malaysia, sejajar dengan aspirasi negara ke arah kelestarian alam sekitar.