
Muhammad Luqmanul Hakim dipilih YDP baharu JPP POLIMAS
Oleh Zihan Zari
JITRA – Pelajar jurusan Diplopma Perancangan Bandar dan Wilayah, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Muhammad Luqmanul Hakim Mohamad Yazid dipilih sebagai Yang DiPertua (YDP) baharu Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) bagi tahun 2025.
Muhammad Luqmanul Hakim dipilih setelah menerima undi terbanyak melalui Pilihanraya Kampus POLIMAS yang telah dijalankan secara serentak di seluruh Politeknik Malaysia pada 5 Februari lalu.
Muhammad Luqmanul Hakim berkata sebagai YDP bertekad menjadikan JPP sebuah organsasi yang harmoni dan akan melaksanakan janji-janji manifesto sepertimana dalam kempen pilihanraya kampus POLIMAS.
Beliau berkata demikian selepas menerima tauliah pelantikannya itu daripada Pengarah POLIMAS, Hj. Rosli Idris pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan JPP di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, POLIMAS dekat sini, baru-baru ini.
Dalam majlis itu, seramai 30 pelajar turut menerima watikah pentauliahan masing-masing sebagai Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) POLIMAS.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Hamizi Yahya; dan Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Muhamad Saiful Nizam Sa’ari.
Muhammad Luqmanul Hakim berkata kebajikan pelajar harus dijaga supaya mereka dapat menuntut ilmu dengan sempurna dan selesa di dalam kampus bagi meraih keputusan yang cemerlang dalam pelajaran selain aktiviti yang diceburi.
Beliau anak kelahiran Kuantan, Pahang merupakan anak kedua daripada 3 orang adik beradik. Bapanya merupakan Pembantu Tadbir di Jabatan Meterologi Malaysia, Putrajaya
Setelah menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub beliau menyambung pelajaran di POLIMAS.
Beliau bercita-cita menjadi Pegawai Perancang Bandar dan Wilayah yang bertauliah, berhasrat untuk menyambung ke peringkat ijazah setelah tamat pengajian peringkat diploma di POLIMAS.
Rakannya, Shahrul Fadhli Hairul Nizam, dari Diploma Teknologi Maklumat, POLIMAS berkata, Muhammad Luqmanul Hakim adalah seorang pelajar yang berwibawa dan mempunyai sikap kepimpinan dan azam yang tinggi.
“Saya percaya beliau akan berjaya mengemudi JPP POLIMAS ke arah yang lebih baik dan dapat menjaga kebajikan serta boleh menyelesaikan sebarang masalah yang bakal dihadapi oleh para pelajar,”katanya.
Dalam pada itu, Rosli berkata sebagai sebuah organisasi yang telah dipilih oleh pelajar, sewajarnya mereka menjadi contoh kepada pelajar lain, sentiasa prihatin dan mengambil kira keperluan pelajar dalam usaha menyediakan suasana kondusif di POLIMAS.
“JPP merupakan penghubung antara pengurusan politeknik dengan pelajar dalam menyalurkan maklumat khususnya melibatkan permasalahan yang dihadapi mereka.
“Anda semua telah dipilih oleh pelajar, sebagai pemimpin dan selaku pemimpin anda perlu menjalankan tugas dan menghargai undi yang diberikan mereka,”jelasnya.
“Dengan kuasa yang ada, anda perlu mengambil tahu tentang mereka dan maklumkan pada kita.
“Jika mampu kita akan penuhi keperluan pelajar dan JPP harus menunjukkan tauladan dan kepimpinan yang baik kepada semua pelajar, ”jelasnya lagi.
Sementelah, mantan YDP JPP POLIMAS, Muhammad Faris Aqil Mohd Nasir berkata barisan Exco yang baharu dilantik ini, akan memenuhi harapan pihak pengurusan.
“In sha Allah, ianya menjadi contoh kepada pelajar lain demi untuk meningkatkan imej POLIMAS dan menjaga kebajikan pelajar, ”katanya. – SUARA.TV