Tiga pelajar POLIMAS rangkul pingat emas, raih Anugerah Best of The Best MJIC 2025

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
04 March 2025
Penyelidikan dan Inovasi, SUARA TV

Oleh Zihan Zari

JITRA – Tiga pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) mencipta kejutan apabila merangkul pingat emas dan meraih Anugerah Best Of The Best dalam Pertandingan Inovasi di Persidangan Antarabangsa Malaysia-Jepun ke-6 mengenai Nanosains, Nanoteknologi dan Kejuruteraan Nano 2025 (MJIC 2025) yang berlangsung di DoubleTree by Hilton, Melaka baru-baru ini.

POLIMAS dalam kenyataannya memaklumkan, pasukan POLIMAS terdiri dari pelajar berbakat, Aiman ‘Aqil La’anain (Ketua Kumpulan); Naufal Saiful Khohar; dan Muhammad Amir Danish Mohd Jamal.

Penampilan ketiga -tiga mereka berjaya menarik perhatian juri dengan projek inovatif yang bertajuk ‘Transforming Sales Management: A Web-Based System for Data Collection and Real-Time Analytics’.

“Projek ini membangunkan sistem pengurusan jualan berasaskan web yang bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dalam industri hartanah.

“Dengan ciri-ciri analisis data masa nyata, paparan prestasi automatik, serta kemudahan kolaborasi bagi ejen dan pengurus, sistem ini menawarkan penyelesaian digital yang inovatif bagi sektor tersebut, ”kata kenyataan itu.

Menurut Aiman ‘Aqil La’anain, kemenangan ini merupakan satu penghargaan yang bermakna bagi kumpulannya dan menjadikan mereka lebih bersemangat untuk membawa idea ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya tidak menyangka projek kami ini akan memenangi Anugerah Best Of The Best bagi projek terbaik dalam pertandingan ini.

“Terima kasih kepada penyelia kami yang telah bertungkus lumus membantu kami dari segi khidmat nasihat sehingga projek kami berjaya disiapkan, ”katanya.

Penyelia Projek, Ts Afzanizam Alias, berkata kemenangan ini menjadi bukti bahawa POLIMAS mempunyai keupayaan dan kepakaran untuk menghasilkan inovasi terkini setanding dengan pelajar dari universiti lain dari dalam dan luar negara.

“Kejayaan yang kita capai hari ini adalah hasil daripada dedikasi, kreativiti, dan kerjasama yang luar biasa secara berpasukan,”katanya.

Mengulas lanjut, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris berkata kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada POLIMAS kerana pelajar politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar.

“Ini menunjukkan bahawa tiada had bagi apa yang kita boleh capai apabila kita bekerjasama dengan tekad dan idea yang segar.

“Kejayaan ini bukan sekadar kemenangan, tetapi bukti bahawa generasi muda kita mampu mencipta perubahan dengan mengaplikasikan teknologi secara kreatif, ”ujarnya.

“Jutaan terima kasih kepada pensyarah POLIMAS yang membimbing pelajar hingga mampu beroleh kemenangan yang berprestij ini, secara tak langsung meningkat imej POLIMAS.

“Dengan pencapaian gemilang ini, diharapkan lebih ramai pelajar akan terinspirasi untuk meneroka bidang inovasi dan teknologi, sekaligus membantu negara mencapai kecemerlangan dalam ekonomi berasaskan pengetahuan lagi,”ujarnya.

MJIC 2025 dianjurkan bersama oleh Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dengan kerjasama institusi pendidikan tinggi dari Jepun seperti Institut Teknologi Nagoya (NITech), Kolej Institut Teknologi Kebangsaan Kagawa (NITKC), dan Institut Teknologi Kebangsaan Kolej Tokuyama (NITTC).

Ianya menjadi platform penting dalam mengetengahkan bakat dan inovasi terkini dalam bidang nanosains dan nanoteknologi. – SUARA.TV

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti