Jalinan Kasih Ramadan: Kolej Komuniti Arau Anjurkan Aktiviti Ibadah dan Perkongsian Ilmu

KOLEJ KOMUNITI ARAU
08 April 2025
Aktiviti Pelajar, BERITA, Komuniti, Umum

Arau, 20 Mac 2025 – Sebanyak 81 orang peserta telah menyertai Program Jalinan Kasih Ramadan yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti Arau (KKA). Program yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan memperkukuh semangat kebersamaan ini berlangsung dengan penuh keberkatan melibatkan pelajar dan staf KKA.

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP), Ahli Briged Sukarelawan (BriSK), dan Pembimbing Rakan Inspirasi Siswa & Siswa (PRISS) KKA turut menunjukkan komitmen tinggi demi memastikan segala urusan berjalan lancar dan memberikan pengalaman yang bermakna kepada semua peserta.

Program ini dimulakan dengan sesi perkongsian ilmu yang bertujuan memberi pengisian rohani kepada para peserta. Sesi ini mengupas tentang kelebihan bulan Ramadan serta pentingnya memperbanyakkan amalan ibadah sepanjang bulan mulia ini. Para peserta juga diberikan peluang untuk berkongsi pengalaman dan pandangan mereka mengenai makna sebenar Ramadan.

Seterusnya, acara diteruskan dengan bacaan Yasin, selawat dan Qasidah yang dipimpin oleh pelajar Ma’had Tahfiz Al Quran Al Imam An Nawawi (MATIN) bertujuan untuk menyemarakkan lagi suasana keberkatan Ramadan dan mendoakan kesejahteraan untuk semua yang terlibat dalam program tersebut.

Menjelang waktu berbuka puasa, para peserta bersama-sama menikmati hidangan yang disediakan dalam suasana yang penuh harmoni dan ukhuwah. Program ini tidak hanya memberi ruang untuk berbuka bersama, tetapi juga dapat bersama-sama menunaikan solat Maghrib berjemaah, yang menambahkan lagi keberkatan program ini.

Pegawai Pembangunan Pelajar KKA merangkap Pengarah Program, Mohd Hairi Fifi Mansor dalam ucapannya menyatakan, “Program Jalinan Kasih Ramadan ini adalah salah satu usaha pihak kolej untuk memperkukuhkan ikatan sesama kita, selain memberi peluang kepada semua untuk memperbaiki diri dan memperbanyakkan amal ibadah. Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan memberi manfaat kepada semua yang terlibat.”

Harapan utama adalah agar setiap peserta dapat membawa pulang nilai-nilai positif yang diperoleh sepanjang program ini dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti