
Arau, 25 Mac 2025 – Kolej Komuniti Arau (KKA) sekali lagi meneruskan tradisi murni dengan menganjurkan Program CSR Seikhlas Hati Seribu Senyuman Tahun 2025 yang bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan dan berkongsi kegembiraan menjelang sambutan Aidilfitri. Program ini melibatkan penyediaan kuih raya oleh pensyarah dan pelajar dari Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan serta Sijil Khas Pemprosesan Makanan KKA.
Sebagai tanda keprihatinan dan semangat memberi, kuih raya yang telah disediakan dengan penuh kasih sayang ini telah diedarkan kepada hampir 30 jabatan dan agensi kerajaan negeri Perlis termasuk pihak industri. Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Kolej Komuniti Arau dalam aktiviti kemasyarakatan tetapi juga sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang sentiasa berkhidmat untuk masyarakat.
Majlis penyerahan kuih raya ini telah disempurnakan oleh Pengarah Kolej Komuniti Arau, Tuan Haji Rosnizam Kamis, bersama dengan Timbalan-timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan, serta pensyarah KKA. Keceriaan jelas terpancar di wajah para penerima sumbangan yang menghargai usaha dan keikhlasan warga KKA dalam menyantuni masyarakat melalui program sebegini.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan Program CSR ini bukan sekadar satu aktiviti kebajikan tetapi juga memberi peluang kepada para pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran mereka dalam penyediaan makanan serta memupuk nilai kesukarelawanan dan keprihatinan sosial. “Dengan sokongan berterusan daripada pihak pengurusan dan tenaga pengajar, program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh jalinan erat antara institusi pendidikan dan komuniti setempat,” katanya lagi.
Kolej Komuniti Arau amat berbesar hati kerana dapat menyumbang kepada masyarakat melalui program yang bermakna ini. Semoga inisiatif sebegini dapat terus menjadi inspirasi kepada semua dalam usaha menyebarkan kebaikan dan membina masyarakat yang lebih prihatin dan penyayang.