Bank Islam Bimbing Pelajar Teroka Perbankan Islamik vs Konvensional

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
17 April 2025
Akademik, Aktiviti Pelajar, Kolaborasi, Umum, Uncategorized

Perspektif perbankan Islamik dan konvensional diperhalusi dalam sesi bersama pakar industri kewangan

KULIM, 15 April 2025“Sebagai institusi pendidikan, kami percaya bahawa pendedahan awal kepada realiti industri adalah kunci kepada kebolehpasaran graduan,” ujar Log. Abdul Aziz Ishak, Ketua Jabatan Perdagangan, ketika membuka tirai Program Industrial Expert Enrichment Program (IEEP) anjuran Jabatan Perdagangan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad.

Log. Abdul Aziz Ishak menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum program bermula.

Program yang berlangsung di Dewan Muadzam Shah ini menghimpunkan lebih 250 pelajar daripada program Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Perakaunan dan Diploma Pemasaran dengan objektif memperkukuh kefahaman mereka terhadap sistem perbankan Islamik dan konvensional yang sangat relevan dalam landskap kewangan masa kini.

Antara yang mencuri perhatian peserta ialah sesi pembentangan oleh Encik Asraful Shafiq bin Abd. Manaf, Penolong Pengurus Kanan, Center of Digital Experience, Bank Islam Kuala Lumpur. Perkongsian bertajuk “Transformasi Digital dan Peranan AI dalam Perbankan Moden”, beliau menyatakan:

“Platform seperti BE U by Bank Islam bukan sahaja memudahkan urusan harian pelanggan malah ia adalah contoh bagaimana inovasi dapat memperkasa kepercayaan dalam sistem kewangan digital.”

Sesi bersama Encik Asraful Shafiq bin Abd. Manaf yang sempat dirakam lensa PTSB.

Sesi turut diserikan dengan pengisian mendalam oleh Puan Wan Siti Hajar Wan Salim, State Client Director Wilayah Utara (Pulau Pinang) yang menegaskan kepentingan memahami asas syariah dalam transaksi kewangan.

“Literasi kewangan bukan sekadar angka malah ia berkait rapat dengan nilai, integriti dan pematuhan kepada prinsip yang diyakini,” jelas beliau, sambil membimbing pelajar menilai perbezaan asas antara sistem perbankan Islamik dan konvensional.

Perkongsian daripada Encik Zairil bin Zainol, wakil Jabatan Transaksi Berpusat, Sokongan Korporat Bank Islam, memberi gambaran jelas tentang operasi sebenar industri perbankan, menjadikan pengalaman pelajar lebih bermakna dan bersifat praktikal.

Program ini turut disokong oleh barisan pensyarah PTSB yang memainkan peranan penting dalam penganjuran termasuk Encik Huzaimi Md. Zuki, Encik Mazly Mohd. Noor dan penyelaras kursus, Encik Mohd Zaidi Yusof.

IEEP bukan sekadar program ilmu tetapi satu jambatan kukuh antara dunia akademik dan industri dalam usaha mempersiapkan pelajar dengan ilmu semasa, kemahiran insaniah serta keyakinan menghadapi cabaran kerjaya kelak. Inisiatif ini membuktikan bahawa kolaborasi strategik seperti ini mampu membuka ruang baharu dalam pembangunan sahsiah dan profesionalisme pelajar politeknik.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti