Pelajar PSA teroka dunia industri minyak dan gas bersama Baker Hughes Malaysia

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
21 April 2025
Akademik, BERITA

21 APRIL 2025, SHAH ALAM – Seramai 35 pelajar Semester 1 dari pelbagai program Diploma Kejuruteraan dan 16 pensyarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) berpeluang menyelami secara dekat operasi industri minyak dan gas menerusi program lawatan akademik ke Baker Hughes Malaysia, baru-baru ini.

Program julung kali itu membuka ruang pembelajaran luar bilik kuliah, sekali gus memberi pendedahan langsung kepada budaya kerja serta protokol keselamatan yang diamalkan oleh syarikat terkemuka antarabangsa dalam sektor tenaga.

Lawatan tersebut dimulakan dengan taklimat mengenai asas keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam sektor minyak dan gas yang disampaikan oleh Pegawai Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Baker Hughes, Shamsul Azam. Menariknya, sesi ini turut disertai secara dalam talian oleh 43 pelajar lain.

Usai sesi taklimat, para peserta dibawa meninjau fasiliti Baker Hughes Malaysia yang terletak di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur oleh Pengurus Fasiliti, Thilagah Nadarajah.

Turut serta Eksekutif Operasi Kewangan Global Scott Paxton dan Ketua Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar SerantauAhmad Hafeez Ramli yang berkesempatan bertemu para pelajar dan berkongsi pengalaman masing-masing.

Pengarah Program, Lee Yong Yong berkata, lawatan tersebut menyokong objektif pengajaran dan pembelajaran bagi kursus DUE10062: Technical English 1, di samping memperkasa kemahiran komunikasi bahasa Inggeris pelajar dalam konteks dunia profesional sebenar.

“Selain memberi pendedahan kepada pelajar tentang amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sebuah organisasi minyak dan gas, program ini juga memberi mereka peluang untuk berinteraksi dalam Bahasa Inggeris dengan pegawai-pegawai di sebuah organisasi antarabangsa”, ujarnya.

Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik Perubatan, Adeeba Afreena, 18, melahirkan rasa teruja kerana berpeluang melihat sendiri operasi syarikat bertaraf global.

“Saya dapat melihat sendiri bagaimana pegawai sebuah syarikat antarabangsa menguruskan sumber manusia serta fasiliti secara sebenar dan berpeluang  berinteraksi dengan mereka”, katanya.

Bagi Syed Muhammad Haziq pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang berminat untuk menceburi  bidang minyak dan gas, beliau berpuashati kerana dapat mengetahui standard dan protokol keselamatan serta persekitaran kerja di sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa.   

Sementara itu, Pengurus Projek Baker Hughes Malaysia, Declan Shuit menyifatkan program seperti ini penting dalam menjalin hubungan strategik antara institusi pendidikan dan industri.

“Ia bukan sahaja membuka peluang kepada kami untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman, tetapi turut memperkukuh jaringan kerjasama dengan pihak politeknik,” katanya.

Baker Hughes Malaysia, anak syarikat kepada Baker Hughes Company yang beribu pejabat di Houston, Amerika Syarikat merupakan syarikat antarabangsa dalam sektor tenaga.  Di Malaysia, syarikat ini memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas melalui kemudahan teknikal, penyelesaian kejuruteraan dan kepakaran keselamatan bertaraf dunia.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti