FSM 2025 cungkil bakat pelajar

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
25 April 2025
Aktiviti Pelajar, BERITA

PERAK, 24 April 2025 – Semangat inovasi dan kecekapan teknikal terserlah apabila Pasukan POLISAS AUTOSAS RACING berjaya meraih beberapa pencapaian cemerlang dalam pertandingan Formula Student Malaysia 2025 (FSM 2025) yang berlangsung di Litar Dato Sagor, di sini bermula 23 April baru-baru ini.

Mewakili Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), pasukan ini telah menghantar dua buah kereta lumba binaan pelajar dalam dua kategori berbeza iaitu Electric Vehicle (EV) dan Formula SAE (FSAE).

Menariknya, penyertaan dalam kategori EV ini merupakan kali pertama bagi POLISAS, walaupun institusi ini telah aktif menyertai perlumbaan kereta formula sejak tahun 2011. Dalam penampilan sulung ini, pasukan telah berjaya membuktikan kemampuan luar biasa apabila berjaya meraih kemenangan bagi kategori EV iaitu Tempat Kedua Keseluruhan, Tempat Ketiga bagi Ujian Masa dan Tempat Ketiga bagi Pembentangan Rekaan.

Dalam kategori FSAE, POLISAS turut mencipta kejutan apabila jentera 135cc bersaing dalam kategori jentera 800cc, menandingi tujuh pasukan lain yang menggunakan kapasiti enjin jauh lebih besar. Meskipun mempunyai kapasiti enjin paling kecil, pasukan POLISAS berjaya membuktikan keunggulan melalui kejayaan Tempat Ketiga Keseluruhan dan Tempat Kedua bagi Ujian Masa.

Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim yang turut hadir memberikan sokongan berkata, kejayaan ini mencerminkan semangat juang tinggi, kreativiti kejuruteraan dan kerjasama padu dalam kalangan ahli AUTOSAS, yang terdiri daripada para pelajar diploma Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Kejuruteraan Awam.

“Pertandingan sebegini sangat baik dalam usaha mencungkil bakat pelajar untuk berinovasi dalam pendidikan dengan mengaplikasikan pembelajaran kepada pembinaan dan pembuatan automotif, di samping memupuk nilai-nilai murni kerja berpasukan.

“Sebagai satu pasukan, para pelajar khususnya memainkan peranan yang sangat penting, dengan bantuan Pensyarah dari bidang mekanikal (automotive, welding, machining, design dan CAD), Pensyarah dari bidang elektrik (programing dan wiring) serta dengan kerjasama staf sokongan”, katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal POLISAS, Nik Mohd Haikal Mohamed Hasan berkata, proses pembinaan dua buah jentera iaitu Electric Vehicle (EV) dan Internal Combustion Engine (ICE) ini mengambil masa selama enam bulan dengan penglibatan 35 tenaga pengajar dan 20 pelajar Kejuruteraan Mekanikal (bidang Automotif dan mekanikal Am) serta seorang pelajar Kejuruteraan Awam yang bertanggungjawab menyiapkan reka bentuk jentera.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian luar biasa pelajar-pelajar kami. Ini bukan sahaja mengenai kemenangan semata-mata, tetapi lebih kepada bagaimana mereka menyelesaikan cabaran teknikal dengan penuh inovasi,” ujarnya.

FSM merupakan acara tahunan yang menghimpunkan institusi pendidikan teknikal dari seluruh negara untuk mempamerkan kepakaran melalui reka bentuk, persembahan dan prestasi jentera lumba buatan pelajar.

Kejayaan ini sekali lagi membuktikan kehebatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan bakat muda yang berkualiti tinggi serta bersedia menghadapi cabaran industri sebenar.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti