Pelajar Kolej Komuniti Kuala Pilah Rangkul Dua Kejuaraan di Jengking Muay Thai Fight 2025

KOLEJ KOMUNITI KUALA PILAH
29 April 2025
Sukan, Uncategorized

NILAI, 28 April – Kejohanan seni bela diri Jengking Muay Thai Fight yang berlangsung di Mesa Mall, Nilai menyaksikan Muhammad Haziq Muslihin memecah rekod peribadinya apabila berjaya merangkul kejuaraan dalam dua kategori berat sekaligus.

Beliau yang kini mengikuti pengajian di Kolej Komuniti Kuala Pilah dalam Sijil Teknologi Peranti Mudah Alih itu berjaya mengungguli kategori 54–55 kilogram dan 56–58 kilogram selepas menampilkan aksi cemerlang sepanjang pertandingan. Kejohanan tersebut menghimpunkan barisan petinju muda dari seluruh negara dan menjadi platform penting bagi mencungkil bakat baharu dalam arena Muay Thai tempatan.

Menurut Haziq, kejayaan tersebut merupakan hasil latihan intensif serta sokongan berterusan daripada jurulatih, keluarga dan rakan-rakan kolej.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini kerana ianya bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi juga satu penghargaan buat kolej yang sentiasa memberi sokongan kepada pelajar yang aktif dalam bidang sukan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Sementara itu, Megawati Muhamad, Pengarah Kolej Komuniti Kuala Pilah turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Haziq atas pencapaian luar biasa itu, dan menyifatkan kejayaannya sebagai bukti bahawa pelajar kolej komuniti bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menyerlah dalam bidang kokurikulum dan sukan.

Kolej Komuniti Kuala Pilah sentiasa komited dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segi intelek, jasmani dan sahsiah, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan pendidikan TVET sebagai pilihan utama.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti