
Kota Tinggi, 18 Mei 2025 – Dengan semangat tinggi dan komitmen terhadap pembangunan belia, Kolej Komuniti Kota Tinggi (KKKTJ) telah tampil aktif menyertai Program Semarak Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Daerah Kota Tinggi 2025, yang berlangsung meriah di Astaka Budaya, Laman Tun Sri Lanang, dari 15 hingga 18 Mei 2025.
Bertemakan “Yakin Boleh”, program anjuran Pejabat Daerah Kota Tinggi dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi dengan kerjasama Majlis Belia Daerah ini menghimpunkan komuniti belia, sukarelawan dan institusi pendidikan dalam satu platform inklusif dan bertenaga.
KKKTJ mengorak langkah proaktif dengan penglibatan seramai 10 orang pelajar dan 4 orang pensyarah yang memainkan peranan penting sepanjang program. Bermula dengan acara pembukaan pada 15 Mei yang diserikan dengan senamrobik, aktiviti gotong-royong Johor Bersih, nyanyian lagu rasmi, bacaan ikrar belia serta perasmian oleh YB Cik Norlizah binti Noh, ADUN Johor Lama, program ini menyerlahkan semangat dan perpaduan anak muda.
Sebagai institusi yang komited mendekatkan pendidikan dengan komuniti, KKKTJ turut membuka kaunter pendaftaran walk-in dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang sepanjang program berlangsung. Orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat lanjut tentang pelbagai kursus kemahiran dan program TVET yang ditawarkan.
Turut diadakan ialah pameran pendidikan, saringan kesihatan, pertandingan interaktif dan aktiviti menarik yang menceriakan suasana. Kehadiran KKKTJ menyerlahkan lagi peranan institusi ini sebagai rakan strategik pembangunan belia dan komuniti setempat, seiring aspirasi negara membina generasi yang berdaya saing dan yakin pada masa depan.