
Edisi 9, 21 Mei 2025
POLITEKNIK Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) terus melakar kejayaan dalam usaha memperkukuh hubungan antarabangsa apabila menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) bersama Japan Da’wah Centre (JDC) dalam satu majlis yang berlangsung di Osaka, Jepun baru-baru ini.
Majlis menandatangani dokumen tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim dan Pengerusi JDC, Zulkarnain Hassan Basri disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr. Asmadi Abd Rahman dan Pengarah Kolej Komuniti Jerantut (KKJP), Azad Muslim Muhammad.
Kolaborasi strategik ini turut melibatkan MUIP dan KKJP sebagai rakan sinergi, sekali gus membuka lembaran baharu kepada usaha pengantarabangsaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Lawatan yang berlangsung dari 16 hingga 20 Mei itu dianjurkan bersama oleh POLISAS dan MUIP dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), KKJP, JDC dan National Institute of Technology (KOSEN), Jepun.
Menurut Hisamudin, kerjasama ini merupakan satu lonjakan besar kepada POLISAS dalam memperluas jaringan global dan meningkatkan kebolehpasaran pelajar dalam pelbagai bidang kejuruteraan, teknologi makanan dan perdagangan.
“JDC juga telah berbesar hati menerima pelajar POLISAS untuk menjalani latihan industri di Jepun dan merintis inisiatif baharu termasuk program halal antara Malaysia dan Jepun,” katanya.
Tambah beliau, hubungan dua hala ini bukan sahaja memberi manfaat dalam bidang akademik dan latihan, malah membina jambatan budaya dan dakwah yang menjangkau sempadan geografi dan ideologi.
Dalam pada itu, delegasi POLISAS turut berpeluang melawat kemudahan canggih di KOSEN termasuk makmal, bengkel, pusat penyelidikan dan asrama pelajar, sekali gus membuka ruang kerjasama dalam pembangunan kurikulum dan pertukaran kepakaran teknikal antara dua institusi.
Terdahulu, seramai 22 pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), POLISAS turut menyertai program lawatan industri ke Jepun menerusi program Mechanical Minds Across Borders yang diadakan dari 8 hingga 13 Mei lalu.
Mereka telah dibawa melawat ke syarikat kejuruteraan terkenal, Koizumi Seisakusho Co., Ltd., yang memperlihatkan teknologi pembuatan automasi tinggi termasuk proses pembentukan paip, teknik kimpalan berketepatan tinggi dan sistem kawalan kualiti industri berat.
Lawatan itu memberi pendedahan berguna kepada pensyarah dalam memperkasa kaedah pengajaran, pengurusan makmal serta penyelidikan berkaitan fabrikasi logam dan kejuruteraan mekanikal.
Delegasi turut menyertai sesi perkongsian intelektual dan aktiviti dakwah bersama masyarakat Islam di Jepun di JDC dan Pusat Islam Osaka (Osaka Islamic Center) sebagai usaha memperkenalkan Malaysia dan POLISAS di mata dunia.
Program ini membuktikan iltizam POLISAS dalam mendukung aspirasi Malaysia MADANI melalui pembangunan modal insan yang holistik dan bertaraf antarabangsa. – Edisi 9