
JITRA – Projek inovatif WNS FutsalHub telah berjaya merangkul Anugerah Pengarah dalam Pertandingan Projek Akhir Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) 2025 (FYPCom@POLIMAS 2025) yang berlangsung selama dua hari di Dewan Sri Mas, baru-baru ini. Bertemakan “Nurturing TVET Leaders for Industrial Needs”, pertandingan tahun ini menampilkan sebanyak 99 projek inovatif daripada pelbagai jabatan akademik di POLIMAS.
WNS FutsalHub merupakan sebuah sistem pintar berasaskan Data Science dan AI Chatbot yang direka bentuk untuk merevolusikan pengurusan serta pengalaman pengguna dalam tempahan gelanggang futsal. Antara ciri utama sistem ini termasuk analisis penggunaan gelanggang berdasarkan corak data tempahan, serta sokongan chatbot berkuasa AI yang membolehkan pengguna membuat tempahan, menyemak jadual, dan mengemukakan pertanyaan secara automatik dan pantas.
Projek ini telah dibangunkan oleh tiga pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Maklumat dari Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, POLIMAS, iaitu Syed Muhammad Zikri Syed Mohd Arif, Muhammad Nur Alif Syah Norshahri, dan Muhammad Aimanuddin Fitri Amaluzzaman, di bawah bimbingan pensyarah penyelia, Ir. Ts. Siti Nur Thazliah Mohd Thazali.
Menurut ketua kumpulan, Syed Muhammad Zikri, “WNS FutsalHub bukan sekadar platform tempahan; kumpulan kami menggunakan pendekatan data analytics untuk mengenal pasti waktu puncak, meramalkan kadar penggunaan, dan membantu pemilik gelanggang membuat keputusan yang lebih strategik.” Katanya lagi, “AI chatbot yang kita bangunkan mampu menjawab pertanyaan pengguna 24/7 dengan efisien, menjadikan pengalaman pengguna lebih mesra dan interaktif.”
Salah seorang ahli kumpulan, Muhammad Aimanuddin, turut meluahkan rasa bangga atas pencapaian mereka.Katanya, “Kemenangan ini memberi suntikan semangat kepada kami untuk terus mengembangkan projek ini ke tahap yang lebih tinggi. Kami amat berterima kasih kepada pensyarah yang membimbing kami serta rakan sepasukan yang telah bekerja keras menjayakan sistem ini.”
FYPCom@POLIMAS 2025 menjadi platform penting bagi pelajar dari pelbagai jabatan untuk mempersembahkan projek akhir mereka. Menurut pensyarah juga selaku penyelia kumpulan, Ir. Ts. Siti Nur Thazliah Mohd Thazali, “WNS FutsalHub menunjukkan bagaimana pelajar dapat menerapkan kemahiran Data Science dan Artificial Intelligence dalam membangunkan penyelesaian sebenar kepada keperluan industri sukan dan rekreasi. Projek ini sejajar dengan tema tahun ini, ‘Nurturing TVET Leaders for Industrial Needs’, yang menekankan keupayaan pelajar untuk menjadi pemimpin teknikal masa hadapan yang mampu memenuhi kehendak industri.”
Sementara itu, Timbalan Pengarah POLIMAS, Dr. Mohd Azmin Mat Seman, dalam ucapan penutupan berkata, “Penglibatan aktif pelajar dalam pertandingan ini membuktikan keupayaan mereka mencipta penyelesaian inovatif yang boleh dikembangkan ke peringkat industri. Ia juga membuka peluang kepada pihak industri untuk bekerjasama dalam mengkomersialkan produk yang dihasilkan.”
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Dr. Mohd Azmin Mat Seman, dan turut dihadiri oleh Dato’ Mohd Yuzi Mat Zin, Pengarah Urusan Northern Coral (M) Sdn. Bhd., merangkap Pengerusi Alumni POLIMAS. Para pemenang menerima hadiah berupa hamper, plak dan sijil penghargaan.
Dr Azmin bergambar bersama kumpulan pemenang Anugerah Pengarah
Pemenang Anugerah Pengarah bergambar bersama projek yang dibuat bersama