
Gerik: Seramai 56 orang pelajar terdiri daripada 35 orang lelaki dan 21 orang perempuan dari 13 buah Kolej Komuniti Negeri Perak telah terpilih menyertai Latihan Medan PISPA Kolej Komuniti Negeri Perak. Latihan berkenaan telah berlangsung selama dua hari bermula pada 24-25 Mei 2025 [SABTU-AHAD] di Kolej Komuniti Gerik. Perasmian penutup latihan telah disempurnakan oleh Yang Setia Lt. Kol (PA) Mohd Zalimi Bin Abd Aziz Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kinta mewakili Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Perak di Dewan Al-Farabi KKGP.
Semasa ucapan perasmian berkenaan beliau menyatakan bahawa latihan medan yang diadakan, semoga dapat memupuk beberapa elemen siapsiaga sebagai pengukuhan jati diri penting pada belia, pelapis muda dan anak bangsa kini. Perkara utama pastinya bagi menguji dan sekaligus mendukung ketahanan fizikal, mental dan emosi. Ia merangkumi ketahanan luaran serta dalaman peserta. Selain itu latihan ini bertujuan untuk memilih kadet terbaik bagi mewakili KKNP ke pertandingan peringkat kebangsaan kelak, katanya lagi.
Memfokuskan kepada latihan yang praktikal melalui silibus Asas Pertahanan Awam yang telah disediakan, kita menilai para peserta atau kadet ini melalui penyelesaian tugasan yang diberikan dan dinilai oleh jawatankuasa teknikal dan Jurulatih Anggota APM. Penilaian ini dilaksanakan agar para peserta dilengkapi kemantapan dan merupakan produk berkualiti kita hasilkan.
Secara tidak langsung kadet PISPA ini dibekalkan pengetahuan dan kemahiran selama mengikuti Kursus Asas Pertahanan Awam yang boleh dijadikan pratikal dalam kehidupan. Bukan sekadar jaringan kerjasama strategik, ia turut membina sahsiah yang holistik, kesedaran dalam semua golongan mahupun golongan professional secara lebih efisyen mendekati keilmuan pertahanan awam.
Kita amat berharap barisan peserta ini berjaya melontarkan impak yang positif di samping mempunyai dasar kepimpinan yang tinggi tanpa melupakan sahsiah, menjunjung ilmu serta mampu membawa perubahan landskap minda baharu bersama akhlak yang mulia. Turut berjiwa patriotisma, semangat berpasukan, bekerjasama dan mewarisi kecintaan negara. Pakej berkualiti ini akan mempergiatkan lagi para peserta ini menjadi seorang graduan yang cekap merebut ruang dan peluang, tegasnya lagi.
Turut hadir di majlis berkenaan adalah Mejar Bersekutu (PA) Khairil Azhar bin Mohd Nor Pengarah Kolej Komuniti Gerik Merangkap Pengerusi PISPA Kolej Komuniti Negeri Perak, Mejar Bersekutu (PA) Aznur Anuar bin Ab Azid Pengarah Kolej Komuniti Taiping Merangkap Timbalan Pengerusi PISPA Kolej Komuniti Negeri Perak, Lt.(PA) Mohd Sophian Bin Ismail, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hulu Perak dan Pengarah-Pengarah Kolej Komuniti Negeri Perak.