
Portal MYBERITA, 1 Ogos 2025
KULIM – Suasana penuh semangat dan harapan menyelubungi Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) apabila seramai 803 pelajar baharu rasmi melangkah masuk ke institusi ini menerusi penganjuran Minggu Transformasi Siswa (MTS) Sesi 1 2025/2026 yang berlangsung dengan jayanya.
Program orientasi itu bukan sekadar medan pengenalan kepada kehidupan kampus, malah menjadi platform penting membentuk nilai murni, jati diri serta kesiapsiagaan pelajar dalam mendepani cabaran dunia pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang kian mencabar.
Pengarah PTSB, Norlili Juwita Arshad dalam ucapannyaMTS merupakan inisiatif penting dalam memperkenalkan pelajar kepada ekosistem pembelajaran di politeknik selain menyemai semangat perpaduan, integriti dan tanggungjawab sebagai produk TVET yang berdaya saing dan beretika. menekankan kepentingan pelajar memulakan langkah dengan niat yang betul serta membudayakan adab sebagai asas kejayaan dalam pengajian dan kehidupan.
“PTSB bukan sekadar tempat menimba ilmu tetapi medan membentuk nilai, etika dan jati diri. Kuasai teknologi semasa seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Realiti Tambahan (AR), namun pastikan ia terus berpaksikan nilai insaniah dan tanggungjawab sosial,” tegas beliau.
Beliau turut menyeru para pelajar agar menjadi individu yang fleksibel dan berfikiran strategik demi merealisasikan aspirasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), selari dengan keperluan industri masa kini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (JHEP) merangkap Pengerusi Jawatankuasa MTS, Norsyahidan Mohamad Yusof memaklumkan berlaku peningkatan ketara penyertaan dalam program Kejuruteraan, khususnya Mekanikal, Elektrik dan Awam.
“Peningkatan ini bukan sahaja signifikan dari segi statistik, malah menunjukkan kesedaran pelajar terhadap prospek kerjaya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan yang semakin meluas,” jelas beliau sambil merakamkan penghargaan kepada semua jawatankuasa pelaksana yang komited menjayakan MTS tahun ini.”
MTS merupakan inisiatif penting dalam memperkenalkan pelajar kepada ekosistem pembelajaran di politeknik selain menyemai semangat perpaduan, integriti dan tanggungjawab sebagai produk TVET yang berdaya saing dan beretika.