
KUCHING – Kisah inspirasi terpancar di Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon (POLYCC) Sarawak Kuching apabila Pooly anak Steven, 65, dari Kampung Siol Kandis, muncul sebagai graduan tertua daripada 1,719 graduan yang diraikan di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kuching di sini, semalam.
Bekas guru yang bersara pada tahun 2020 ini menamatkan pengajian sepenuh masa dalam bidang Sijil Fesyen dan Pakaian (SFP) di Kolej Komuniti Kuching (KKKG). Minat mendalam terhadap dunia jahitan mendorong beliau kembali ke bangku kuliah, sesuatu yang tidak berkesempatan dilakukan ketika masih berkhidmat kerana komitmen tugas sebagai pendidik.
Pooly mengetahui peluang belajar tanpa had umur selepas bertanya kepada rakan dan jiran, pensyarah SFP iaitu Jeffery Adam Henry Adam yang kemudiannya berhubung dengan Pegawai Pengambilan KKKG, Afzan Mohamad Sula . “Apabila diberitahu pelajar senior diterima, saya terus mendaftar kerana ketika itu pengambilan baharu dibuka,” katanya.
Mengimbau cabaran sebagai pelajar paling senior, beliau mengakui pernah berasa tersisih kerana rakan sekelas rata-ratanya berusia 19 hingga 20 tahun. “Namun saya bersabar sehingga pada akhir semester dua, hubungan kami semakin rapat,” ujarnya.
Kejayaan beliau turut diserikan dengan penerimaan Anugerah Keusahawanan. Kini, beliau menjalankan perniagaan menjahit dari rumah, menerima tempahan dan mengadakan ‘road trip’ mengajar jahitan baju Kebaya Nyonya ke pelbagai lokasi, termasuk daerah Sri Aman, Sarawak.
Pesan Pooly kepada golongan muda, “Jangan pernah putus asa. Kejar minat anda, sentiasa rendah hati, bekerja dengan ikhlas dan buat yang terbaik. Umur bukan penghalang untuk menimba ilmu, tetapi jangan abaikan kesihatan.”
Terdahulu Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sarawak 2025 telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Kerajaan Sarawai iaitu Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.