
KUCHING – Seramai 25 orang pelajar bersama 5 pegawai pengiring dari Kolej Komuniti Kuching (KKKG) telah menyertai Mariaman Trail – Pendakian Ilmu Mobiliti Satria Rakan Muda anjuran Unit Sukan KKKG dengan kerjasama Kelas Sijil Teknologi Senibina (STS 2A) di sini, baru-baru ini.
Menurut Pegawai Belia dan Sukan selaku penyelaras program, Abitt Nunong menyatakan bahawa ekspedisi menuju Mariaman Temple, Matang Kuching ini bukan sekadar pengembaraan mendaki, malah menjadi wadah membina sahsiah, memupuk kesedaran ekologi dan mengukuhkan nilai kerjasama dalam kalangan peserta.
“Sepanjang laluan pelbagai aktiviti kreatif dan berunsur pendidikan dilaksanakan. Antaranya mencipta pantun bertemakan alam yang membolehkan pelajar menzahirkan rasa syukur dan kekaguman terhadap keindahan alam melalui bait-bait pantun yang indah.
“Selain itu, turut diadakan aktiviti foto kreatif dengan merakam detik-detik unik pendakian yang bertemakan panorama alam sebagai latar seni yang menginspirasi,” kata Abitt.
“Initiatif mengutip sampah dilakukan bagi tujuan menyemai rasa tanggungjawab menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
“Aktiviti refleksi diri di akhir pendakian pula memberi ruang kepada pelajar untuk merenung pencapaian diri, memahami nilai kerjasama dan menghayati hikmah di sebalik setiap Langkah,” ujarnya lagi.
Terdahulu program yang dilaksanakan secara santai ini berhasil mewujudkan pengalaman menggabungkan aspek fizikal, mental dan emosi.
Justeru itu, kesedaran bahawa mendaki bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi sebuah perjalanan membina jati diri dalam kalangan pelajar.
Hadir sama Penasihat Akademik STS 2A, Ts. Liew Foong Ching dan Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kuching, Mohamad Arif Zulhilmi Bin Alet.